Nenek mangsa kemalangan, Zaleha Nikmat,62, (kiri) bersama menantunya Slasidah Kamisan menunjukkan gambar Alia Ahmad,17, dan adiknya Alissa,15, ketika menunggu proses bedah siasat di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Melaka, hari ini.

MELAKA – Nenek kepada dua remaja perempuan yang maut dalam nahas meragut enam nyawa di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) menghala ke Simpang Ampat di Alor Gajah malam tadi, masih terbayang telatah dan gurau senda bersama mereka ketika sebelum kejadian.

Menurut Zaleha Nikmat, 62, kelakuan cucunya Alissa Ahmad,15, ketika makan tengah hari semalam juga disifatkan luar daripada kebiasaan apabila arwah yang memanggilnya dengan gelaran ‘mak’ kelihatan gembira dan terlalu memuji lauk asam pedas ikan tongkol yang dimasaknya.

Katanya, pada hari itu juga dia berasa keberatan untuk membenarkan bapa mereka mengambil Alissa serta kakaknya, Alia,17, untuk pulang menyambut Aidiladha di Perak kira-kira 3.30 petang di rumah mereka di Taman Kota Panorama, Yong Peng.

“Ketika waktu makan tengah hari Alissa kata kepada saya, mak sedap lauk mak masak hari ini, sambil menjilat jari-jarinya, tapi saya cakap macam biasa saja dan semalam dia juga nampak sangat lain.

“Biasanya saya hanya membenarkan bapa mereka meluangkan masa bersama setiap kali cuti sekolah, tetapi kali ini rasa begitu berat hati,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka di sini hari ini.

Zaleha berkata, dia bersama keluarga yang dalam perjalanan dari Yong Peng ke Shah Alam berasa sangat terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada ibu mangsa Rosziati Muktar, 36, kira-kira 10 malam yang memaklumkan kejadian nahas terbabit.

Sementara itu, bapa saudara mangsa Rashidi Muktar, 31, berkata kenangan bersama dua beradik itu sangat sukar dilupakan berikutan mereka tinggal bersama-sama di rumah ibu bapanya sejak kira-kira lapan tahun yang lalu bersama seorang lagi adik lelaki mereka iaitu Arshad,14.

Rashidi yang bertugas sebagai pengawal keselamatan berkata, dua beradik itu telah dianggap sama seperti anaknya sendiri selain rutin hariannya adalah menghantar dan mengambil mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Seth, Yong Peng, Johor.

“Tiga beradik itu tinggal bersama kami sejak ibu bapa mereka berpisah dan hubungan kami menjadi sangat rapat. Saya tidak dapat membayangkan ketiadaan mereka selepas ini dan sehingga kini saya masih teringat gelak tawa mereka,” katanya.

Dalam kejadian 9.40 malam tadi, selain dua beradik itu, turut terkorban dalam nahas tersebut ialah bapa mereka, Azhar Ahmad, 57, serta kakak bapanya, Habibah 60-an; isteri Azhar yang hanya dikenali sebagai Halimaton, 24.

Turut maut, pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berusia 51 tahun namun belum dikenal pasti identitinya, manakala penumpang perempuan dipercayai anak mangsa mengalami cedera parah. Sebuah treler juga terlibat dalam nahas itu, namun pemandunya tidak mengalami kecederaan.

— BERNAMA