JAMARAT –  Jemaah haji memulakan melontar Jamrah – salah satu perkara wajib dalam mengerjakan ibadah itu.

Agensi berita melaporkan, lebih 2.5 juta jemaah terlibat dalam melontar pada tahun ini.

Seperti sebelum-sebelum, kerajaan Arab Saudi amat prihatin dan berhati-hati dalam isu keselamatan apatah lagi menjelangnya ibadat haji tahunan selepas kejadian rempuhan empat tahun lalu.

Para jemaah sentiasa diminta mematuhi segala jadual yang ditetapkan agar perkara-perkara tidak diingini tidak berlaku ketika musim haji.

Pihak berkuasa Arab Saudi memantau ketat ibadat melontar Jamrah daripada jambatan tiga tingkat yang dibina bertujuan mengurangkan kesesakan dan mengelak tragedi buruk rempuhan beberapa tahun lalu daripada berulang.

Pihak berkuasa menyasar untuk meningkatkan jumlah jemaah umrah dan haji kepada masing-masing 15 juta dan 5 juta menjelang 2020 dan berharap dapat menggandakan angka jemaah umrah kepada 30 juta menjelang 2030. –MalaysiaGazette