Wei Liang (baju belang) bergaduh dengan Syed Muhammad Danial yang menyebabkan kematian lelaki berusia 29 tahun itu.
Wei Liang (baju belang) bergaduh dengan Syed Muhammad Danial yang menyebabkan kematian lelaki berusia 29 tahun itu.

KUALA LUMPUR – Dua suspek pergelutan susulan perselisihan faham yang berpunca daripada kemalangan jalan raya di KM 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, sehingga mengakibat seorang mangsa meninggal dunia kini dalam proses reman.

Dalam satu kenyataan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat mengesahkan tangkapan telah dibuat ke atas kedua-dua suspek yang merupakan pasangan suami isteri.

“Kes tersebut telah disiasat di bawah Sek 302 Kanun Keseksaan. Tangkapan telah dibuat ke atas sepasang suami isteri berbangsa Cina berusia 40 dan 36 tahun.

“Kedua dua mereka dalam proses permohonan reman di mahkamah Kajang,” demikian menurut Fadzil.

Polis Selangor menegaskan siasatan awal mendapati kejadian bermula akibat  kemalangan kecil selepas Tol Sungai Besi menghala selatan di mana kereta si mati telah melanggar bahagian belakang kereta suspek.

Menurut polis, berlaku kejar mengejar dan cabar mencabar sehinggalah kedua mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

SAC Fadzil Ahmat
SAC Fadzil Ahmat

“Seterusnya berlaku pergaduhan antara suspek dan si mati yang merupakan lelaki Melayu berumur 29 tahun.

“Beberapa pemandu lain turut berhenti dan telah mententeramkan kedua mereka. Akhirnya masing masing telah kembali ke kereta,” katanya lagi.

Laporan polis menyebut, si mati yg tidak berpuashati telah keluar dari kereta dengan membawa sebatang kayu base ball dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Keadaan itu telah menyebabkan suspek memandu kereta ke hadapan dalam keadaan tergesa-gesa dan terlanggar mangsa

Mangsa yang tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan kemudian dibawa ke Nilai Medical Centre dan telah meninggal dunia semasa dirawat. –  -MalaysiaGazette