Wong Shu Qi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP mengaku menggunakan contoh mengaitkan tulisan jawi dengan penerbitan buku pornografi dalam sebuah dialog 9 Ogos yang lalu.

Kata Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi penjelasan itu dibuat demi mengelakkan kekeliruan mengenai keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 mulai tahun depan yang dianggap merupakan taktik pengislaman.

Ia susulan satu klip video selama 22 saat yang tersebar di media sosial semalam menunjukkan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi bercakap dalam bahasa Cina sambil menayangkan beberapa gambar buku yang didakwanya sebagai buku lucah.

“Dalam pembentangan tersebut, saya menggunakan tiga slaid untuk menjelaskan hujah tersebut melalui sejarah penggunaan tulisan Jawi, seperti berikut. Dalam slaid pertama, saya menerangkan bahawa tulisan Jawi adalah tulisan untuk bahasa Melayu sebelum tulisan Rumi diperkenalkan.

“Justeru, tulisan Jawi pernah digunakan untuk mengarang kitab agama Kristian pada abad ke-19.

“Slaid kedua pula memberikan contoh bahan-bahan bacaan lain yang menggunakan tulisan Jawi, termasuk bahan bacaan pornografi.

“Dalam slaid ketiga, saya telah menerangkan bahawa walaupun ada penganut agama Buddha yang menulis kaligrafi bahasa Cina bagi mempersembahkan manuskrip agama Buddha, namun, hampir tiada orang yang akan beranggapan bahawa kaligrafi Cina adalah untuk kegunaan agama Buddha sahaja,” katanya menerusi kenyataan.

MCA dan UMNO kemudian menurutnya bersekongkol memainkan sentimen perkauman dengan memutar belit serta memetik ucapannya di luar konteks.

“Dengan merujuk kepada ucapan saya yang sama, MCA mendakwa saya menyokong tulisan jawi dengan tujuan menghasut orang Cina, manakala UmMNO pula mendakwa saya menghina tulisan jawi dengan tujuan menghasut orang Melayu. Begitu terang lagi bersuluh permainan politik jahat mereka,”katanya yang pada ketika itu mengadakan satu dialog dengan wakil 28 persatuan Cina di Kluang.

Beliau turut mendakwa seorang pemimpin MCA yang turut menghadiri dialog itu merakam ucapannya tanpa kebenaran. -MalaysiaGazette