Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Pengerusi Malaysia Airpots, Tan Sri Zainun Ali, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Selangor, Datuk Aminuddin Shaari pada pelancaran Buku Up And Ahead pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke 21 KLIA di KLIA, Sepang. foto NOOREEZA HASHIM, 13 OGOS 2019.

SEPANG – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) supaya berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berbau perkauman.

Katanya, tindakan pertubuhan Cina itu secara konsisten mengeluarkan kenyataan mencetuskan isu perkauman dan menyebabkan pergaduhan antara satu sama lain juga boleh dianggap melanggar undang-undang.

Ditanya sama ada Dong Zong perlu diharamkan, Dr Mahathir berkata, beliau menyerahkan keputusan tersebut itu untuk dimuktamadkan oleh pihak polis. 

“Jika Dong Zong berterusan mencetuskan isu perkauman dan buat orang bergaduh antara satu sama lain, sudah tentu ianya melanggar undang-undang. Kita ada kebebasan bersuara tapi perlu sensitif

“Saya tidak tahu lagi terserah kepada polis (sama ada Dong Zong perlu diharamkan atau tidak),” katanya kepada media selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun Ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

MGF13082019_TUN M KLIA 2111
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke 21 KLIA di KLIA, Sepang. foto NOOREEZA HASHIM, 13 OGOS 2019.

Perdana Menteri dalam masa yang sama mempertahankan kenyataannya semalam yang melabelkan Dong Zong sebagai rasis meskipun beberapa pihak termasuk pemimpin DAP menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak adil.

Tegas Dr Mahathir, Dong Zong  tidak pernah bercakap tentang rakyat Malaysia yang berbilang kaum sebaliknya hanya tentang Cina.

“Tengoklah latar belakang Dong Zong, mereka hanya memperjungkan satu kaum sahaja.

“Ini adalah negara yang multiracial. Awak sepatutnya fikir perasaan kaum lain sebelum bercakap.  Tapi Dong Zong tidak pernah cakap tentang Malaysia yang multiracial mereka hanya cakap tentang pendidikan Cina sahaja,” katanya lagi.

Semalam Dr Mahathir ketika di Langkawi berkata, Dong Zong rasis apabila persatuan terbabit tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk idea penubuhan Sekolah Wawasan sebelum ini dan menganggap pelaksanaan tulisan Jawi dan seni khat sebagai strategi pengislaman.

Menurut beliau, sikap degil Dong Zong juga dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran tulisan Jawi dan seni khat di sekolah-sekolah vernekular meskipun keputusan tersebut telah diluluskan kerajaan terdahulu pada tahun 2012.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dan bekas Pengerusi Dong Zong, Vincent Lau kemudian menganggap kenyataan Perdana Menteri itu sebagai tidak adil. 

Dong Jiao Zong dalam reaksi terbaharu hari ini menolak kenyataan Dr Mahathir itu sambil menegaskan bahawa dalam isu pembelajaran khat Jawi pertubuhan itu bukan mewakili suara kaum Cina semata-mata.

Sebaliknya mereka juga membawa suara pertubuhan India selain menyeru supaya perdana menteri membuka ruang untuk berbincang dengan semua terlibat dalam isu tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/12/dr-mahathir-label-dong-zong-rasis/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/13/dong-jiao-zong-kesal-dituduh-rasis-oleh-dr-mahathir/