Kerajaan memutuskan setiap Jumaat sebagai Hari Jawi.

KUALA LUMPUR – Kabinet hari ini memutuskan pembelajaran seni khat Jawi akan dikenali sebagai pengenalan tulisan jawi dan hanya dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid sekolah berkenaan.

Pembelajaran pengenalan tulisan jawi itu juga akan diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid Tahun 4 mulai tahun depan, murid Tahun 5 pada 2021 dan Tahun 6 pada tahun 2022 di SJK.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan di sini memberitahu, Kabinet turut mengekalkan keputusan untuk pembelajaran pengenalan tulisan Jawi dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks.

“Mesyuarat Jemaah Menteri turut menetapkan supaya tulisan Jawi ini dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan jawi dan bukannya khat.

“Dalam perbincangan terkini, Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengekalkan keputusan Jemaah Menteri pada minggu lalu supaya pengenalan tulisan Jawi ini diteruskan.

“Tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan. Sekolah Kebangsaan akan teruskan seperti biasa,” kata Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan di sini.

Perbincangan hari ini juga secara sepakat mengekalkan keputusan  pengenalan tulisan Jawi ini tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan

“KPM berharap melalui keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri ini, isu pengenalan tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

“KPM dari semasa ke semasa akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara,” katanya. – Malaysia Gazette