Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) menunjukkan dua laporan polis yang dibuat terhadap Dong Zong dan Koon Yew Yin.

KUALA LUMPUR – Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) membuat laporan polis terhadap Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Pengasas Gamuda Bhd., Koon Yew Yin rentetan kenyataan mereka yang mampu menggugat keharmonian negara.

Laporan polis ke atas Dong Zong dibuat ekoran pendirian dan kenyataan mereka yang bertentangan dengan dasar kerajaan, malah membelakangi Perlembagaan Persekutuan dan juga undang-undang Malaysia melalui pendirian yang bersifat rasis serta.

Manakala laporan polis ke atas Yew Yin dilakukan ekoran kenyataan biadab beliau yang mengutuk dan menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan pejuang tanah air yang memelihara kedaulatan dan keharmonian negara.

Timbalan Presiden Agra, Juzaili Azmi berkata, Dong Zong secara berterusan mengganggu gugat keharmonian negara dengan memberi persepsi yang salah ke atas usaha kerajaan dalam memperkasa agenda nasional terutama dalam isu Jawi melalui kenyataan-kenyataan dan tindakan mereka yang mengelirukan rakyat terutama bukan Melayu.

Malah, kenyataan-kenyataan mereka mampu mengundang kekeliruan dengan menyemai rasa Xenofobia dan Islamofobia kepada masyarakat bukan Melayu.

“Kenyataan mereka yang menyebut bahawa pengenalan tulisan Jawi ini sebagai salah satu kaedah Islamisasi secara sistematik dan ini jelas berbaur Xenofobik, Islamofobik atau dengan izin “Melayufobik”.

“Ini memberi persepsi salah kepada masyarakat bukan Melayu yang kini hangat mempertikai di media sosial secara terbuka walaupun ianya tidak berasas kerana tulisan Jawi hakikatnya adalah sebahagian daripada bahasa Melayu,” katanya.

Juzaili menambah, kenyataan mereka ini menimbulkan satu polemik baru dalam fabrik masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum lantas merencatkan usaha kerajaan dalam mengukuhkan integrasi antara kaum dan pemantapan budaya bangsa Malaysia yang berteraskan Melayu-Bumiputera sebagai jati kebangsaan dengan diwarnai kepelbagaian  kebudayaan etnik-etnik lain seperti Cina dan India.

Justeru, Agra memohon agar siasatan dilakukan ke atas badan Dong Zong atas sikap badan itu yang rasis serta mengganggu keharmonian dengan mengambil tindakan bersesuaian atas tindak tanduk mereka yang mungkin dibayangi pihak tertentu untuk sengaja mencetus provokasi dan memecah-belah perpaduan yang telah lama kita kecapi.

Mengulas laporan terhadap Yew Yin pula, beliau berkata, kenyataan hartawan itu suatu penghinaan kepada penjawat awam itu sendiri utamanya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kenyataan beliau juga telah merendahkan martabat para anggota tentera negara sedanglan tiap dari mereka bekorban masa, tenaga dan nyawa dalam memastikan keamanan negara serta menghalang sebarang usaha untuk mengganggu gugat keharmonian dan kedaulatan negara secara umum atau rahsia.

Lantaran itu, Yew Yin wajar disiasat kerana kenyataannya bukan sahaja menafikan kedudukan penjawat awam dan wira tanahair, malah berbaur hasutan serta mampu mengganggu keharmonian negara atas kepincangan semasa dengan  mencetus provokasi. – MalaysiaGazette