Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan Pakatan untuk melaksanakan tulisan Jawi bagi murid Tahun 4 di sekolah vernakular dengan syarat jika ia dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid adalah keputusan paling tidak munasabah.

Keputusan berkenaan tiada rasionalnya dan tidak selari dengan semangat Perlembagaan dan juga jalan mati untuk pengenalan tulisan Jawi dalam sistem sekolah tersebut.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan berkenaan telah menyakinkan semua pihak bahawa tulisan Jawi adalah sandiwara Pakatan Harapan (PH) untuk memesongkan perhatian rakyat terhadap isu hakiki yang menghantui tanah air sekarang.

Melihat sikap chauvinistic pendukung sekolah vernakular dalam isu ini, Mohamad percaya tiada PIBG yang akan memberikan persetujuan untuk ia dilaksanakan.

Jadi, soal Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau ini, di mana rasionalnya kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memerlukan persetujuan PIBG untuk dilaksanakan dan apa peranan PIBG dalam memenuhi objektif pembelajaran dan pengajaran.

Berikutan itu, beliau beranggapan Parti Pribumi Bersatu Malaysia sekadar ingin jadi juara kepada orang Melayu sementara DAP pula mahu dilihat sebagai pejuang sebenar kepentingan bangsa Cina.

Tetapi, dakwa Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mad, kedua-duanya gagal dalam pementasan kali ini.

Akhirnya yang menang ialah Dong Jioa Zong, pertubuhan yang gelarkan rasis oleh perdana menteri.

Ini kerana, desakan Dong Jiao Zong telah menyebabkan tersungkurnya semua anggota Jemaah Menteri dalam mempertahankan wibawa sistem Pendidikan Nasional dan ia tidak pernah terjadi dalam sejarah pendidikan negara ini, pendidikan dipolitikkan sebegini rupa.

Katanya, PH telah tunduk kepada desakan Melayuphobia dan Islamophobia yang dijuarai oleh DAP dan penaugnya Dong Jiao Zong.

Lantaran itu, kepada Dr Maszlee Malik, Tok Mad berkata: Kepada Menteri Pendidikan, anda mempunyai tanggungjawab Perlembagaan bukan sahaja memperjuang dan mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu tetapi memperkukuhkannya.

“Anda telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab Perlembagaan ini. Saudara mesti mengambil pertanggungjawaban atasnya.

“Saudara tahu apa yang wajar dilakukan dan demi tanahair ini, saya mendesak saudara berundur dengan hormatnya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette