Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih pesat berbanding jangkaan menunjukkan daya tahan Malaysia semasa persekitaran ekonomi dunia kelihatan muram.

Lebih-lebih lagi, Malaysia adalah antara sekumpulan kecil negara di rantau ini yang menikmati pertumbuhan suku kedua yang lebih pantas berbanding suku pertama, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pertumbuhan KDNK setinggi 4.9 peratus ini mengatasi konsensus pasaran serendah 4.7 peratus seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

Menurutnya, kadar pertumbuhan yang menggalakkan ini juga menggambarkan keberkesanan pembaharuan institusi
yang di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

MGF05082019_RASMI PERSIDANGAN CUKAI NASIONAL_13
Lim Guan Eng

Lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa beberapa rakan dagang utama Malaysia sedang mengalami kelembapan pertumbuhan yang disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Pertumbuhan KDNK bagi suku kedua disokong oleh pengukuhan permintaan domestik yang berkembang sebanyak 4.6 peratus tahun-ke-tahun, iaitu pertumbuhan yang lebih pesat berbanding kadar 4.4 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2019.

Guan Eng berkata, walaupun ekonomi Malaysia masih berkembang pesat, pihak kerajaan sentiasa berjaga-jaga tentang permintaan dunia yang sedang lemah serta kesannya terhadap ekonomi tempatan.

Pada bulan Julai, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah memotong unjuran pertumbuhan KDNK dunia kepada 3.2 peratus daripada 3.3 peratus.

Pada awal tahun ini, IMF telah mengunjurkan ekonomi dunia untuk berkembang sebanyak 3.5 peratus. Kelembapan pertumbuhan ini disebabkan oleh ketegangan perdagangan. Bank Dunia pula menganggarkan KDNK Malaysia akan berkembang sebanyak 4.6 peratus untuk tahun 2019.

Jelasnya lagi, walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia masih menggalakkan, kerajaan sentiasa berwaspada akan risiko berkaitan dengan perang perdagangan yang berlarutan dan memburuk antara Amerika Syarikat dan China.

Malaysia terus fokus untuk membangunkan ekonomi secara mampan dan kerajaan bersedia melakukan
langkah-langkah perbelanjaan kontigensi untuk menangani kesan buruk yang timbul akibat daripada perang perdagangan tersebut, jika perlu.

Kejayaan kerajaan dalam menguruskan kewangan dengan baik melalui pembaharuan fiskal telah memberikan Malaysia ruang untuk bertindak dengan sewajarnya. – MalaysiaGazette