KABUL- Kementerian Dalam Negeri Afghanistan mengesahkan 63 orang terkorban manakala 182 lagi cedera apabila seorang pengebom berani mati melakukan serangan semasa sebuah majlis perkahwinan sedang berlangsung di ibu negara Afghanistan, malam Sabtu lalu.

Taliban menafikan terlibat dalam insiden berkenaan.

Serangan yang berlaku ketika Taliban dan Amerika Syarikat sedang cuba berunding untuk meminta tentera AS keluar dari Afghanistan manakala Taliban pula berjanji untuk komited terhadap rundingan keselamatan dan keamanan dengan kerajaan AS.

Menurut seorang saksi, lebih daripada 1,000 orang dijemput pada majlis tersebut, ketika kekhuatiran meningkat ia mungkin merupakan serangan terburuk dengan jumlah korban teringgi pada tahun ini.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nusrat Rahimi memberitahu The Associated Press bahawa penyerang tersebut meletupkan dirinya di tengah-tengah tetamu pada majlis perkahwinan itu.

Letupan berlaku berhampiran pentas di mana ahli muzik dan ‘semua remaja, kanak-kanak dan semua orang terbunuh’ kata saksi, Gul Mohammad. – MalaysiaGazette