Gelagat seorang kanak-kanak ketika menunaikan solat sunat hari raya Aidiladha semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Tidah sah solat seseorang itu sekiranya bacaan Al-fatihah dibaca melalui hati sahaja.

Justeru, bacaan Al-fatihah perlu dibaca dengan jelas melalui lidah sebatas pendengaran dan tidak pula sehingga ke tahap mengganggu makmum yang bersebelahan.

“Bacaan Al-fatihah ketika solat adalah termasuk di antara rukun qauli (ucapan/perkataan) yang mana jika kita meninggalkannya maka tidak sah solat kita.

“Hendaklah bacaan Al-fatihah itu dibaca dengan lisan iaitu dituturkan melalui lidah, bukannya di dalam hati,” jelas soal jawab di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Tambah laman web itu, Imam Al Syafi’e Rahimahullah berkata, tidak sah bagi seorang lelaki mengangkat takbiratul ihram untuk solat melalui hatinya, dan tidak sah pula dia membaca (Al-fatihah) melalui hatinya sehinggalah seseorang itu menggerakkan lidahnya.

Pandangan Imam al-Syafi’e itu dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Khabbab R.anh.

“Dengan cara apakah kamu mengetahui bacaan Nabi S.A.W pada solat zohor dan asar? Kata Khabbab: Kami (mengetahui bacaan Nabi SAW) dari pergerakan janggut baginda,” ulas laman web itu. – MalaysiaGazette