Mendiang Presiden Parti IPF, Datuk M. Sambathan

KUALA LUMPUR – Pas di lihat ‘bermati-matian’ membela Zakir Naik yang pada umumnya telah menggangu gugat sentimen perkauman dalam kalangan yang bukan Islam di negara ini melalui cara beliau berdakwah.

Walaupun pembangkang khasnya bukan Islam mula menerima baik Pas meskipun berbeza idealogi namun hakikatnya kini Zakir Naik telah membuat hubungan baik itu dilanda ‘ribut’.

Terbaru, Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) pula senada dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang ‘menegur’ cara Pas ‘melebihkan’ Zakir Naik berbanding rakyat Cina dan India di negara yang jelas sekali tidak senang dengan tindak tanduk pendakwah tersebut.

Kata Presiden IPF, Datuk M Sambathan kepada MalaysiaGazette, adalah tidak adil untuk memberi ‘muka’ kepada Zakir Naik yang bukan sahaja asing sebaliknya juga telah bukan sekali sebaliknya berkali-kali melukakan hati bukan Melayu.

“Kita tidak ada masalah dengan Pas sebaliknya amat senang sekali dengan mereka, pada kami walaupun berbeza idealogi dan corak politik tetapi parti Islam banyak menonjolkan imej yang memberi bayangan kaum-kaum lain juga diberikan pengiktirafan di negara ini.

“Tetapi dalam isu Zakir Naik, makin menjadi-jadi. Kita tidak bercakap tentang agama Islam atau apa-apa yang berkaitan dengan agama Islam, kita tiada masalah seandainya Zakir Naik mahu berceramah atau berdakwah. Datanglah dari mana sekalipun, kita alu-alukan mereka.

“Dalam perlembagaan kita sendiri sudah termaktub Islam adalah agama rasmi, bahasa Melayu adalah bahasa utama, selama puluhan tahun kita menerimanya dan menghormati tanpa ada apa-apa masalah.

“Tetapi adilkah seorang asing dari luar masuk negara dan bercakap tentang agama dan kepercayaan mahupun kesetiaan kami yang bukan Melayu dan Islam? Dan cara beliau di pertahankan seolah-olah memperkecilkan kami di sini.

“Jadi mengapa Pas boleh bertoleransi dalam perkara ini? Adakah perasaan kami tidak penting berbanding Zakir Naik? Jika satu sahaja isu, mungkin ada pihak salah fakta, salah tafsir ataupun media salah tulis.

“Tapi jika berkali-kali kontoversi dengan kenyataan bukan berkaitan agama sebaliknya kaum di negara juga di persoal oleh orang luar terutamanya penceramah pendakwah agama, apakah yang anda rasa?

“Cuba anda duduk di tempat kami, adakah anda suka orang luar bercakap bercakap? Tidak adil rasanya diperlakukan seperti ini. Siapa Zakir Naik ini?,” katanya sebentar tadi.

Hari ini, Vigneswaran yang juga Yang Dipertua Dewan membidas kepimpinan Pas seolah-olah ‘menghalalkan’ tindakan Zakir Naik menyatakan apa sahaja sesuka hati tanpa mengambil kira sensitiviti kaum yang melibatkan masyarakat India dan Cina.

MGF_DR_ZAKIR_06
Dr. Zakir Naik

Sambathan berkata, beliau kecewa malah banyak di datangi oleh komuniti yang jelas sekali tidak senang dengan kehadiran Zakir Naik.

“Perkara berbaur kenyataan perkauman serta kebencian juga menjadi isu di India termasuk Bangladesh kerana Zakir Naik. Kini berlaku di sini, tidak adil rasanya membiarkan rakyat kita saban hari berdebat antara satu sama lain.

“Malah jika kita tengok ada komen-komen khasnya dalam laman sosial, rakyat kita pelbagai latarbelakang dan kaum berbalah tentang agama serta kepercayaan masing-masing kerana seorang pendakwah dari luar. Wajarkah ini berlaku?

“Fikir juga tentang kami, ini baru satu isu, bayangkan ada banyak lagi perkara yang akan bangkit pada masa hadapan, apakah kita akan terus berbalah seperti ini? Apakah tidak ada kesan langsung dengan keharmonian yang telah kita bina sejak puluhan tahun ini?

“Antara perkara paling boleh kita banggakan dengan dunia luar sebenarnya tentang keunikan serta kekayaan kita dengan pelbagai kaum, agama, kepercayaan, adat dan tradisi di bawah satu bumbung, Malaysia akhirnya goyah? Tolonglah.

“Pas, tolong hormat pada kami seperti mana kami hormat anda,” ujarnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/18/zakir-naik-pas-sepatutnya-jauh-lebih-sensitif-vigneswaran/