Pekerja Utusan memegang plakad 'Kami Semua Sayangkan Utusan' semasa mengadakan demonstrasi berhubung masalah gaji di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Nasib syarikat dan seramai 769 orang kakitangan Utusan Melayu Malaysia Berhad semakin menyedihkan apabila Pengerusi Eksekutif syarikat akhbar itu, Datuk Aziz Sheikh Fadzir sendiri mengakui gagal untuk menyelamat syarikat akhbar tersebut.

Malah lebih mengejutkan, Aziz sudah bersedia untuk melepaskan jawatan selepas kegagalan menangani masalah kewangan Utusan hingga menyebabkan gaji para pekerja tidak dapat dibayar.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia Mohd. Taufek Razak yang merangkap Presiden NUJ Utusan Melayu berkata, pengakuan itu dinyatakan sendiri Aziz dalam mesyuarat pada jam 9.30 pagi tadi di Bahagian Jabatan Perhubungan Perusahaan Kementerian Sumber Manusia.

MGF19082019_PIKET NUJ UTUSAN08
Pekerja dan bekas pekerja Utusan semasa mengadakan demotrasi berhubung masalah gaji di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2019.

“Pagi tadi dalam perjumpaan dengan pihak pengurusan Utusan Melayu termasuk Aziz dan mereka telahpun membuat keputusan bahawa Utusan memang tidak ada duit untuk bayar gaji kami walaupun yang tertunggak dan pada masa akan datang.

“Dia mengakui dia gagal menyelesaikan masalah syarikat dan pekerja seperti dijanjikan dan kerana mereka tak mempunyai wang dan gagal untuk melupuskan aset yang ada dan menyatakan kesediaan lepaskan jawatannya.

“Jadi mereka telah mengugut kami akan menutup Utusan dan sudah tiak mahu lagi beroperasi sebab mereka dah tidak ada duit dan UMNO pun setakat ini tidak memberi apa-apa maklumat untuk membantu syarikat terus hidup,” katanya dalam sidang media selepas berpiket di hadapan premis bersama 200 kakitangan Utusan termasuk ahli NUJ dan bekas pekerja yang telah menerima Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

MGF19082019_PIKET NUJ UTUSAN13
Presiden NUJ Malaysia dan Utusan Melayu, Mohd Taufek Razak bercakap kepada media selepas mengadakan demotrasi berhubung masalah gaji di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2019.

Mohd. Taufek juga memberitahu, Aziz juga memaklumkan mahu menutup syarikat akhbar itu jika pihaknya gagal menjual aset dan mendapatkan wang dalam beberapa minggu ini.

“Tetapi dia (Aziz) tak sebut tempoh masa. Cuma dia sudah menyerah kalah dan tak sanggup nak tanggung beban ini dan semasa perjumpaan tadi, dia tak jelaskan apa-apa alternatif yang boleh diusahakan atau sedang dicari syarikat, tidak ada.

“Lagipun dia tidak ada cara lain kecuali melupuskan aset sedia ada,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd. Taufek berkata, masalahnya Aziz mendakwa kebanyakan aset milik syarikat tidak dapat dijual kerana ketiadaan Sijil Menduduki (CF).

Beliau mahu UMNO yang masih memiliki sebanyak 19 peratus pegangan supaya menjual saham parti itu dengan segera bagi membolehkan survival syarikat akhbar itu.

Malah, beliau turut merayu ahli dan pemimpin UMNO tampil membantu syarikat akhbar yang berusia 80 tahun itu, mengambil kira jasa akhbar yang pernah mendukung suara mereka dalam politik dan bangsa Melayu.

MGF19082019_PIKET NUJ UTUSAN14
Pekerja Utusan memegang plakad ‘Mana Gaji Kami’ semasa mengadakan demotrasi berhubung masalah gaji di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2019.

Ditanya sebab utama di sebalik masalah dalam melupuskan atau menjual aset syarikat, Taufek berkata, selain faktor kedudukan Utusan sebagai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, ketiadaan CF untuk kebanyakan aset milik syarikat menjadi punca terbesar pengurusan tidak boleh mencari dana selamatkan syarikat.

Lantaran itu, Mohd Taufek menyalahkan pengurusan lama yang tidak ambil peduli tentang perkara-perkara tersebut sehingga menyusahkan kakitangan Utusan.

“Ya. Bursa Malaysia itu satu (sebab), satu lagi untuk pengetahuan tuan tuan puan puan.. ini kalau nak cerita malu sikitlah, kebanyakan masalah tidak boleh lupus aset kerana kebanyakan bangunan milik syarikat tidak mempunyai CF.

MGF19082019_PIKET NUJ UTUSAN10
Pekerja dan bekas pekerja Utusan semasa mengadakan demotrasi berhubung masalah gaji di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2019.

“Dulu semasa UMNO memerintah mereka tidak ambil peduli benda ini kerana menganggap dia terus boleh berkuasa dan boleh membantu tetapi selepas UMNO/BN jatuh sekarang, apabila kita nak jual aset, kita tidak boleh jual sebab kita kena tunggu kelulusan daripada bomba, bursa saham dan sebagainya.

“Selagi tidak selesaikan soal CF kita tidak boleh lupuskan aset dan lihatlah sendiri betapa teruknya pengurusan syarikat sebelum ini mereka memang tak buat kerja dan hanya hidup seronok dengan tanggapan UMNO ini boleh terus berkuasa,” katanya ketiadaan CF diakui sendiri oleh Aziz.

Dakwa beliau, Aziz sedang menunggu untuk menjual satu lagi aset yang ada di Petaling Jaya agar dapat menjelaskan hutang syarikat dan tunggakan gaji pekerja, itupun jika berjaya.

Dalam perkara berkaitan,  kata beliau, syarikat masih memiliki aset bernilai berjuta-juta termasuk ibu pejabat di Chan Sow Lin bernilai antara RM120 hingga RM140 juta.

Selain itu, aset di setiap negeri, di Bangi, Petaling Jaya dan Shamelin.

Ditanya rancangan NUJUM selepas ini, katanya, keputusan mesyuarat bersama Aziz di Putrajaya menyebabkan pihaknya tidak mempunyai pilihan lain kecuali menaruh harapan tinggi agar aset-aset syarikat dapat dijual.

“Kalau syarikat terus ‘bernafas’ kita pun ‘bernafas’, kita tak boleh buat apa-apa malah kementerian pun kita sudah jumpa dia pun tidak boleh buat apa-apa hanya ‘pegang kepala’.

“Kalau tutup itu saya rasa itu satu tamparan hebat kepada orang Melayu sebab Utusan akhbar yang selama ini memperjuangkan hak Melayu sejak 80 tahun dahulu.

“Selain kecewa, penutupan akhbar ini sangat memalukan.

“Kami pekerja masih sayangkan Utusan, sebab itu masih terus bekerja tetapi tidak bergaji ,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette