Sebuah kereta dipercayai membawa penceramah bebas, Zakir Naik hadir bagi diambil keterangan untuk kali kedua kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Polis masih lagi mengambil keterangan daripada pendakwah bebas, Dr Zakir Naik berhubung kenyataan kontroversinya meskipun selepas enam jam berlalu.

Sehingga kini kelibat pendakwah terkenal itu masih belum kelihatan walau dimaklumkan peguamnya, Akberdin Abd Kader bahawa Zakir akan keluar pukul 8.30 malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzair Mohamed dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyambung mengambil keterangan daripada Zakir selepas berhenti seketika untuk solat Maghrib.

Katanya, keterangan diambil untuk polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan sambungan percakapan adalah mengikut Akta 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, Zakir tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pukul 3.15 petang tadi dengan ditemani peguamnya untuk menyambung keterangannya mengikut berkenaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Jumaat lalu, Zakir memberi keterangan di Bukit Aman buat kali pertama untuk membantu siasatan mengikut kanun yang sama.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan pada 3 Ogos lepas dilaporkan telah membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap kaum Cina Malaysia dengan berkata mereka perlu terlebih dahulu keluar dari negara ini sebagai respons kepada desakan agar beliau diusir dari negara ini. – MalaysiaGazette