Sebahagian ratusan ribu penduduk Hong Kong yang menyertai penentangan terhadap rang undang-undang ekstradisi pesalah ke China. foto Agensi

SAN FRANCISCO – Twitter dan Facebook telah menyekat kempen maklumat yang salah dari China sebagai percubaan menjejaskan tunjuk perasaan di Hong Kong.

Twitter berkata, ia mengeluarkan 936 akaun yang dikatakan digunakan untuk “menyebarkan percanggahan politik di Hong Kong”.

Rangkaian tersebut memaklumkan akaun itu berasal dari China dan merupakan sebahagian daripada percubaan diselaraskan untuk melemahkan “legitimasi dan kedudukan politik pergerakan protes”.

Facebook mengatakan ia telah melakukan perkara sama dengan mengeluarkan “tujuh halaman, tiga kumpulan dan lima akaun Facebook.”

“Mereka kerap mencatatkan berita dan isu politik tempatan termasuk topik seperti protes yang sedang berlaku di Hong Kong,” kata Nathaniel Gleicher, Ketua Polisi Keselamatan Siber Facebook.

Katanya, walaupun individu-individu di belakang aktiviti ini cuba menyembunyikan identiti mereka, siasatan Facebook mendapati mereka ada hubungan dengan kerajaan China.

Sebagai tambahan kepada 936 akaun itu, Twitter berkata, sebanyak 200,000 akaun lain, yang direka untuk mengukuhkan maklumat salah yang “proaktif” digantung sebelum menjadi “sangat aktif”.

“Berdasarkan siasatan intensif kami mempunyai bukti yang boleh dipercayai untuk menyokong bahawa ini adalah operasi yang disokong oleh kerajaan.

“Kami mengenal pasti kumpulan besar akaun berkelakuan dengan cara yang terselaras untuk menguatkan mesej yang berkaitan dengan protes Hong Kong.”

Facebook menambah: “Kami akan terus berjaga-jaga, belajar dari rangkaian ini dan secara proaktif menguatkuasakan dasar kami untuk menyampaikan perbualan awam.”

Langkah itu berlaku selepas Twitter dikritik hebat kerana membenarkan agensi berita China, Xinhua membeli iklan dalam rangkaian tersebut.

Bagaimanapun, Twitter berkata, ia tidak akan lagi membenarkan iklan tersebut lagi.

“Melangkah ke hadapan, kami tidak akan menerima pengiklanan daripada entiti media berita yang dikendalikan oleh kerajaan,” kata syarikat itu. – MalaysiaGazette