Pekerja Utusan memegang placard 'Mana Gaji Kami' semasa mengadakan demotrasi berhubung masalah gaji di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Kakitangan Utusan Melayu Bhd. mampu menarik nafas lega apabila syarikat penerbitan itu akan membayar gaji maksimum sebanyak RM2,000 pada malam ini.

Menerusi Memo Pekeliling yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Utusan, Mohd. Nazlan Osman memaklumkan pembayaran itu berdasarkan kemampuan syarikat.

“Bayaran ini akan ditolak daripada jumlah gaji bersih yang ditolak.

“Semoga dengan bayaran pendahuluan ini, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi,” jelas memo itu.

Semalam, lebih 100 kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan piket di luar bangunan syarikat akhbar itu bagi menuntut gaji yang tertunggak sejak tiga bulan lalu.

Piket yang berlangsung selama satu jam bermula pukul 1 tengah hari itu diadakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Isu kelewatan bayaran gaji menyebabkan kakitangan syarikat berdepan kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan harian.

Selain itu, bekas kakitangan yang mengambil Skim Pemisah Sukarela (VSS) turut menerima nasib sama apabila bayaran terakhir yang diterima adalah pada Jun lalu.

Lebih menyedihkan lagi apabila syarikat akhbar keramat yang sinonim dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat Melayu itu difahamkan akan memberhentikan operasi mencetak akhbar bermula esok.

Difahamkan operasi harian syarikat hanya akan berjalan menerusi platform digital sehingga diberitahu kelak. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.