Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International yang sudah masuk hari ke-55, kini sudah menghampiri hari-hari akhir bakal menyambung kenyataan daripada saksi terakhir, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain hari ini sebentar lagi.

Rosli yang merupakan saksi ke-57 itu semalam memberitahu Mahkamah Tinggi, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengakui bahawa semua tanda tangan yang terdapat pada dokumen berkaitan tiga akaun semasa peribadi AmIslamic Bank Berhad miliknya, adalah tanda tangannya.

Kata pegawai SPRM, semua itu merangkumi borang pembukaan akaun bank, surat arahan pindahan wang berjuta-juta ringgit dan borang berkaitan kad kredit.

Rosli berkata demikian ketika di soal oleh  Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim sama ada beliau ada bertanyakan kepada Najib mengenai semua tandatangan dalam dokumen-dokumen itu adalah tanda tangannya, Najib tidak pernah menafikan perkara tersebut.

“Kesemua dokumen yang ditunjukkan pada Najib (semasa disoal siasat SPRM) dan beliau mengesahkan tanda tangan adalah miliknya. Beliau tak nafikan,” katanya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali semalam.

Rosli juga mendedahkan Najib mengakui tentang tandatangan-tandatangan tersebut ketika di soal siasat sebanyak tiga kali iaitu pada 5 Disember 2015, 22 Mei dan 24 Mei 2018.

Bagaimanapun, ketua pasukan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian bangkit memberitahu kenyataan Rosli itu tidak boleh di guna pakai memandangkan ianya tidak lebih daripada ‘dengar cakap’ sahaja dan tidak mempunyai sebarang rekod atau bukti nyata.

Sebelum ini, Rosli juga telah mengesahkan sepucuk salinan surat kebenaran daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil kepada AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan bagi membenarkan seorang individu, Kee Kok Thiam untuk mendeposit wang dalam bentuk tunai ke dalam akaun peribadi milik Najib.

Surat itu dikeluarkan Nik Faisal pada 2014 dan Kee merupakan kenalan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low.

“Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan dokumen asal bagi surat kebenaran itu gagal kerana surat itu berada dalam simpanan Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak Ambank hanya menyimpan salinan,” jelasnya.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini sedang berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keterangan Rosli bersambung hari ini dengan Mohd Nazlan memberi arahan supaya ianya di habiskan dalam tempoh satu jam sahaja, ketika ini kedua-dua pihak sudah sampai dan menanti hakim. –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.