KUALA LUMPUR – Dagangan saham Utusan Melayu (Malaysia) Bhd akan digantung berkuat kuasa 28 Ogos dan sahamnya akan dinyah senarai pada 30 Ogos.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua itu berkata ia tidak dapat memenuhi keperluan penyenaraian di Pasaran Utama kerana gagal mengemukakan pelan penstrukturan semula kepada Suruhanjaya Sekuriti atau Bursa Securities untuk kelulusan.

“Saham syarikat akan dinyahsenarai melainkan rayuannya terhadap penyahsenaraian itu dihantar kepada Bursa Securities pada atau sebelum 27 Ogos,” katanya.

Susulan penyahsenaraian itu, penerbit Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad itu akan terus wujud, namun sebagai entiti yang tidak disenaraikan.

“Utusan masih mampu meneruskan operasi dan perniagaannya dan akan meneruskan penstrukturan korporat dan para pemegang sahamnya masih boleh mendapat bayaran mengikut prestasi syarikat.

“Bagaimanapun, pemegang saham masih memegang kepentingan syarikat yang tidak lagi disenaraikan di Bursa Securities,” katanya.

Syarikat itu diletakkan pada status Nota Amalan 17 (PN17) selepas gagal membayar pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Maybank Islamic Bhd berjumlah RM1.18 juta.

Ketika ditutup hari ini, saham syarikat media itu merosot 36.36 peratus kepada tujuh sen dengan 1.37 juta saham diniagakan, menjadikan nilai syarikat itu kini hanya RM8 juta.

Saham akhbar Melayu tertua itu mencatat harga tertinggi pada RM7.66 pada 31 Mac, 2000 sejak ia mula disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994. Bagaimanapun, syarikat itu mengalami kerugian sejak 2012 dan setakat 30 Jun, 2019, kerugian terkumpul Utusan berjumlah RM261.61 juta. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.