Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bergambar bersama ketua-ketua bahagian selepas pada sidang media mengenai Program Melayu Bangkit, Penyatuan Ummah 2.0 di Jalan Setiaraya, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer didakwa cuba menangguk di air keruh apabila menjadikan krisis kewangan yang dihadapi Utusan Melayu (M) Bhd. sebagai bahan untuk dieksploitasi.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa, Rayer cuba mencemuh UMNO dengan mengambil kesempatan di atas kesempitan yang dihadapi oleh warga Utusan.

“Dia memang macam tu cuba menangguk di air yang keruh. Sekarang Utusan berada dalam keadaan bermasalah dia cuba untuk mengeksploitasi.

“Ini politik dia untuk mencemuh UMNO dan menunjukkan pula dia sebagai pembela dengan mencadangkan kepada kerajaan untuk membela warga Utusan. Ini semua politik dia. Jadi tak menghairankan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Rayer hari ini apabila mengatakan kematian Utusan merupakan pencapaian banteras perkauman.

Rayer dalam satu hantaran di Facebook hari ini menulis keputusan Utusan Melayu untuk menghentikan akhbar bercetak sebagai “pencapaian terbesar Pakatan Harapan (PH)” dalam membanteras perkauman.

Kenyataan itu menyatakan kematian Utusan merupakan pencapaian terbesar Pakatan Harapan ketika cuba menguburkan sifat perkauman dalam negara ini dan meraikan hari kemerdekaan ulang tahun ke-62.

Bagaimanapun dalam kenyataan kemas kini dua jam kemudian, perenggan berkenaan sudah dipadamkan.

Mengulas lanjut Tajuddin berkata, kenyataan Rayer itu harus dikutuk sekeras-kerasnya kerana ia jelas menunjukkan beliau sengaja mahu menimbulkan masalah perkauman ekoran akhbar tersebut merupakan wadah bagi orang Melayu.

Katanya, Rayer cuba bermain dengan sentimen sedangkan Utusan bukanlah sebagaimana seperti apa yang dianggap olehnya.

Dalam pada itu Tajuddin menyarankan agar sebuah tabung dilancarkan bagi mengutip dana dalam usaha membantu kakitangan Utusan.

Katanya, ia bermula dengan mengutip sebanyak RM10 daripada tiga juta ahli UMNO yang ada pada masa ini

Ujarnya, beliau percaya dengan kutipan sebanyak itu dan diperoleh daripada keselurahan ahli parti ia mampu meringankan beban warga utusan yang kini hidup dalam keadaan tersepit. – MalaysiaGazette