Bangunan ibu pejabat Utusan di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) akan terus beroperasi seperti biasa.

Dua akhbar keluaran syarikat itu, Utusan Malaysia dan Kosmo! akan terus menemui pembacanya di seluruh negara.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan. Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, syarikat itu tidak akan menutup operasinya seperti diperkatakan semalam dengan menamatkan penerbitan akhbar berkenaan esok.

Katanya, syarikatnya akan terus beroperasi walaupun akhbar itu sedang berdepan keadaan sukar daripada segi kewangan dan pembayaran gaji pekerja ketika ini.

“Tidak benar kita hendak tutup (hentikan operasi) Utusan Malaysia dan Kosmo!. Betul kita berdepan masalah (kewangan).

“Tetapi kita ada pelan untuk meningkatkan perniagaan,” kata beliau selepas taklimat khas tertutup bersama kakitangannya di Dewan Besar Kumpulan Utusan, Jalan Chan Sow Lin petang tadi.

Abd Aziz menambah, hasil perbincangan dalaman mencapai kata putus untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 kepada RM2.00.

Manakala katanya akhbar Kosmo! akan dijual pada harga RM1.50 iaitu kenaikan 50 sen bermula Jumaat ini.

“Kita menaikkan harga senaskah surat khabar Utusan Malaysia dan Kosmo! sebanyak 50 sen berbanding harga semasa,” ujarnya sambil menyeru orang ramai supaya memberi sokongan dengan membeli akhbar itu demi survival dan meneruskan wadah perjuangannya.

Menerusi memo dalaman, syarikat itu menyatakan persetujuan untuk membayar wang pendahuluan gaji maksimum RM2,000 pada malam ini kepada kakitangan mereka sebagai mengurangkan beban kewangan mereka. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.