KUALA LUMPUR – Memandangkan apa yang diharapkan oleh segelintir pihak, termasuk Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang mahu akhbar, Utusan Malaysia ‘terkubur’ tidak kesampaian.

Rayer dalam satu kenyataan mengecewakan masyarakat umum termasuk mereka yang pro kerajaan berkata, kematian Utusan akan menjadi kejayaan kepada Pakatan Harapan (PH) paling besar apabila kita mencari pengasingan perkauman di negara ini dan meraikan 62 tahun kemerdekaan.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan, syarikat itu akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar, Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Menurut Exco Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Kebangsaan, Mathis Sarawanan, kenyataan Rayer itu bukan sahaja angkuh, sebaliknya sungguh ‘bodoh’ dan langsung tidak mencerminkan keupayaan diri sebagai seorang ahli politik berjiwa rakyat.

Sebaliknya, tambah beliau, kenyataan murahan demi mendapatkan publisiti akhirnya memakan diri sendiri kerana kini akhbar berusia lebih 80 tahun itu tidak ‘jadi’ ditutup.

“Jadi adakah Rayer mahu mengatakan bahawa kini kerajaan PH itu telah ‘tewas’? Kerana beberapa selang masa tadi anda mengatakan bahawa ini adalah satu kejayaan sungguh besar oleh PH kerana Utusan tutup.

“Sekarang mana hendak letak muka kamu atau pemimpin lain? Ada juga pemimpin yang kini dalam PH ini sebenarnya telah mendapat manfaat daripada akhbar ini malah pada masa-masa itu, media ini di julang melangit. Apa sudah jadi sekarang?

“Sebelum bercakap, jangan ikut syok sahaja. Jangan gunakan platform sebagai ahli politik untuk bercakap ‘sampah sarap’ dan terburu-buru seperti ini.

“Banyak sumbangan Utusan yang mungkin kamu butakan hati untuk tengok atau cakap sebenarnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

utusan-malaysia-fb-bangunan
Bangunan ibu pejabat Utusan di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Mathis menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Rayer yang mendakwa Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar yang tidak menyumbang kepada sebarang bentuk pembangunan serta integrasi negara selepas kemerdekaan.

Malah katanya, akhbar tersebut hanya dijadikan sebagai medium untuk mencetus perkauman, menimbulkan kebencian serta memecah belahkan politik dan ketaksuban setiap hari.

Jelas Mathis lagi yang juga Ketua Pemuda MIC Bahagian Bayan Baru, hakikatnya Utusan Malaysia lebih banyak jasa sehingga tidak mampu disenaraikan jika dibandingkan sumbangan Rayer yang tidak seberapa kecuali membuat ‘bising’ tanpa sebarang jalan penyelesaian untuk isu yang timbul.

“Jika hendak tolong boleh sahaja, seandainya tidak, adalah lebih menutup mulut daripada menjadi lebih ‘bodoh’.

“Ya memang betul, Utusan pernah menjadi ‘lidah rasmi’ UMNO, seperti mana Roket Kini, Buletin Mutiara menjadi ‘lidah rasmi’ DAP tetapi jangan sesekali hukum dan hina Utusan.

“Utusan Malaysia jauh lebih banyak jasa kepada Malaysia dari seorang Ahli Parlimen seperti YB yang kerjanya, bukan lain dari sekadar menjadi ‘budak suruhan’ parti.

“YB Rayer, tolong masuk ‘gua’ balik kerana Utusan tidak jadi tutup,” sindirnya. –MalaysiaGazette

Utusan tidak menyumbang kepada pembangunan, integrasi negara – Rayer