KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat semakin tidak konsisten apabila didakwa melantik seramai 14 Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan Negeri yang majoritinya merupakan Ketua Armada Bahagian dan Negeri.

Perkara itu didedahkan, Ketua Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan apabila mendakwa sikap Ahli Parlimen Muar itu sudah berubah tidak seperti iltizam beliau seawal menjadi menteri untuk tidak membuat lantikan politik.

Katanya, perkara itu diketahui selepas menerima aduan daripada beberapa atlet negara yang menyedari kepincangan tersebut.

“Hari ini, sahabat-sahabat Armada beliau dilantik sebagai Pegawai Penyelaras dengan Gred 29.

“Persoalannya sekarang, bagaimanakah proses lantikan pegawai-pegawai ini dilakukan dan apakah kelayakan mereka ini? Di manakah ketelusan yang kerajaan Pakatan Harapan laungkan sebelum PRU-14?” soal beliau menerusi kenyataan media hari ini.

MGF28072019_PC PEMUDA GAGASAN SEJAHTERA40
Shahir Adnan

Shahir berkata, beliau menjangka lantikan politik ke jawatan itu dibuat di saat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bakal mengadakan pemilihan parti dan mendakwa Syed Saddiq cuba mendapatkan sokongan di peringkat akar umbi negeri-negeri.

“Ramai lagi anak muda yang sayangkan sukan negara beratur untuk memohon jawatan ini, tetapi jelaslah budaya lantikan politik makin berleluasa di Kementerian Belia dan Sukan.

“Di saat iltizam 1 juta peluang pekerjaan dengan gaji minimum RM 2500 kepada anak muda masih samar-samar, Syed Saddiq dilihat cuba mengaburi mata anak muda dengan mencadangkan Go-Jek atau “bike-hailing”,” ujarnya.

Justeru, beliau mencabar agar ketua-ketua Armada yang dilantik supaya meletak jawatan serta menyokong idea ketua mereka untuk mencari nafkah melalui Go-Jek dan bukannya sebagai Pegawai Lantikan Gred 29.

WhatsApp Image 2019-08-21 at 12.33.49 PM

Tegasnya, Syed Saddiq juga perlu bersikap adil dan rasional demi menyelamatkan sukan negara daripada terus membuat lantikan politik di Jabatan Belia dan Sukan Negeri. – MalaysiaGazette