mySalam edited caption
Skim MySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Januari lalu.

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan menafikan skim takaful mySalam adalah Skim Cepat Kaya.

Menurut Kementerian Kewangan, pihaknya dan Bank Negara Malaysia telah menjalankan kajian dan penilaian menyeluruh bagi memastikan skim mySalam memberi manfaat penuh kepada rakyat.

Skim perlindungan kesihatan itu, katanya, bukan bermotifkan keuntungan dan hanya ditawarkan kepada 3.8 juta individu daripada kumpulan B40 yang layak.

“Kerajaan ingin sekali lagi menegaskan bahawa tiada unsur keuntungan untuk mana- mana syarikat insurans melalui skim mySalam.

“Segala baki premium yang telah dibayar kepada syarikat takaful yang tidak dituntut, dan faedah simpanan yang terkumpul, akan dibayar balik sepenuhnya kepada Tabung Amanah mySalam.

“Maklumat tentang skim ini boleh didapati dengan mudah melalui laman web Skim mySalam di www.mysalam.com.my.,“ katanya.

Beberapa hari lalu seorang penulis komentar di sebuah akhbar berbahasa Melayu mendakwa skim mySalam sebagai Skim Cepat Kaya.

Menurut Kementerian Kewangan, kandungan komentar tersebut adalah palsu dan sengaja disensasikan bagi bertujuan menafikan manfaat yang dinikmati rakyat daripada skim tersebut

Kementerian itu berkata, kerajaan sentiasa prihatin akan beban kewangan rakyat terutama ketika kecemasan.- MalaysiaGazette