Pekerja dobi Ganesh mengeluarkan pakaian yang direndam dengan air panas dan pencuci sabun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan-persatuan pengusaha perkhidmatan dobi meminta kerajaan meneliti semula secara komprehensif dasar yang tidak membenarkan penggajian pekerja asing dalam sektor perkhidmatan terutama dalam industri dobi.

Ini kerana, sektor tersebut bergantung kepada pekerja asing dan kesan daripada dasar ini menyebabkan perniagaan perkhidmatan dobi yang berskala kecil dan besar berisiko ditutup, selain meningkatkan kadar Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI) yang bekerja secara tidak sah.

Persatuan Dobi Selangor & Kuala Lumpur (SEKLLAAS) serta Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (MULA) berkata, industri dobi adalah keperluan dan satu komponen perkhidmatan sokongan yang utama kepada beberapa sektor penting perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pelanggan (B2C) seperti perhotelan, pelancongan, hospital, penerbangan, perkilangan, perkapalan, pengangkutan, pendidikan dan banyak lagi termasuk kontrak-kontrak perkhidmatan dobi di agensi-agensi kerajaan.

Sekiranya industri dobi tidak dapat beroperasi secara mampan, ia akan memberi impak yang negatif dan akan melumpuhkan keseluruhan ekosistem perniagaan yang berkaitan.

Lantaran itu, Presiden SEKLLAAS, Tham Ah Wah dan Presiden MULA, Abdul Jalil Ibrahim mahu kerajaan mengadakan sesi bersemuka secara aktif dengan pihak persatuan dan pemain industri supaya maklumat yang tepat terutama sumbangan industri dobi terhadap ekonomi, produktiviti dan cukai kepada pihak kerajaan dapat disalurkan secara terus.

Pengusaha dobi di Lembah Klang memproses melebihi 1,000 tan linen sehari yang mana pekerja tempatan tidak berminat untuk melakukan kerja mencuci, melipat dan menggosok.

Oleh yang demikian, kami berharap supaya Kementerian yang bertanggungjawab iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dapat mengambil kira input dan cadangan daripada kedua-dua persatuan ini
dan menyenaraikan industri dobi sebagai salah satu industri kritikal yang sangat memerlukan khidmat tenaga kerja buruh asing.

Kedua-dua persatuan ini juga berharap kerajaan menarik balik larangan pengambilan pekerja asing di sektor
perkhidmatan dobi. – MalaysiaGazette