Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu maklumat rasmi berklasifikasi rahsia dikongsi dan disebarkan oleh pihak-pihak tertentu.

Ia disebarkan melalui rangkaian WhatApss, kata Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun PDRM tidak menjelaskan intipati mengenai maklumat rahsia berkenaan.

Menurut Asmawati, selain menjalankan siasatan di bawah Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan bagi mengenalpasti punca kebocoran maklunat pihaknya juga akan menjalankan siasatan selari di bawah Seksyen 203A(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta, penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ada dalam miliknya apa juga maklumat terkelas yang diterima dari mana-mana pihak melalui apa juga cara hendaklah tidak berkongsi atau menyebarkannya,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut Asmawati, mereka juga diminta untuk tampil membantu siasatan yang dijalankan PDRM bagi mengenalpasti punca kebocoran maklumat tersebut.- MalaysiaGazette