Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof diiringi Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Seri Muhamad Suparadi Md Noor (kiri) melihat barangan keperluan harian pada Majlis Pelancaran TEKUN Mart Mobile di Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 21 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Keputusan yang dibuat oleh kabinet tentang suatu perkara berdasarkan fakta bukan pengaruh mana-mana menteri  kepada Perdana Menteri.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof sendiri mengakui memberi kritikan yang konstruktif kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sekiranya perlu khususnya dalam usaha memajukan ekonomi negara.

“Saya adalah menteri yang tidak mahu membodek sesiapa. Perdana Menteri sendiri saya berikan kritikan yang konstruktif tidak ada masalah.

“Saya sebutkan sekali lagi segala keputusan kabinet adalah konsensus tidak ada pengecualian. Kalau kita lihat apa keputusan kabinet adalah keputusan yang form, yang ada fakta, yang tepat untuk memastikan keputusan yang dibuat untuk kepentingan negara

“Tidak perlu kata kita bodek Perdana Menteri tidak. Saya akan jadi orang terakhir yang akan bodek Perdana Menteri,” katanya ketika sidang media selepas pelancaran TEKUN Mart Mobile di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan Chegubard mendedahkan kononnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh mendakwa ada menteri yang dilihat membodek Perdana Menteri untuk meneruskan Lynas dan mengaitkan Mohd. Redzuan salah seorang daripadanya.

Dakwaan itu dibuatnya menerusi printscreen Whatsapp yang dikatakan perbualan antara Fuziah dengan seseorang yang tidak dikenali.

Dalam perbualan itu, Fuziah menyenaraikan empat menteri yang antaranya Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Rezwan (kemungkinan besar Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof).

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata, sekiranya benar apa yang dikatakan oleh Fuziah, maka timbalan menteri itu tidak faham yang dikatakan usaha untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Kalau dia kata membodek itu, saya rasa dia tidak faham apa yang kita hendak sebutkan dalam usaha kita nak memajukan ekonomi negara.

“Kalau itulah pendapat Fuziah saya sendiri tidak dengar, kalau ada third party itu adalah political rethoric yang saya anggap patut dikurangkanlah, kita kena lebih berhala tuju untuk memastikan rakyat ini diberi maklumat yang tepat, diberi ransangan untuk sama-sama menyokong kerajaan dalam usaha membangunkan ekonomi negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/20/lynas-fuziah-dakwa-ada-menteri-kaki-bodek-tun-m/