David Beckham

NEW YORK – Lokasi tapak yang dicadangkan untuk pembinaan stadium kelab bola sepak Inter Miami milik David Beckham dalam Major Soccer League telah tercemar.

Laporan alam sekitar mendakwa tapak itu dicemari asid arsenik dua kali ganda lebih tinggi daripada had yang dibenarkan  undang-undang.

Tapak Melreese Golf Course yang dicadangkan sebagai tapak pembinaan stadium telah ditutup sehingga notis selanjutnya oleh Majlis Perbandaran Miami ekoran penemuan itu.

Beckham bersedia dengan pelan pembangunan stadium baharu, pusat membeli belah, hotel dan tempat parkir kereta awam dengan kos berjumlah USD$1 bilion.

“Penemuan ini mencetuskan pertimbangan sewajarnya.

“Pada asasnya tapak itu didapati telah tercemar teruk daripada apa yang dijangkakan dalam aspek komersial,” kata Datuk Bandar Miami, Francis Suarez.

Pendedahan berjangka panjang kepada pencemaran kimia Arsenik ini boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan kronik termasuk penyakit kulit, barah paru-paru dan masalah kardiovaskular.

Tapak berkenaan didakwa telah digunakan sebagai tempat pembuangan sisa abu insinerator.

Cadangan pembinaan stadium Inter Miami di tapak Taman Freedom Miami itu belum dimuktamadkan sepenuhnya.

Jurucakap Inter Miami berkata, pelbagai kajian mendalam sedang dijalankan di tapak tercemar itu untuk menangani segala kekangan sebelum membangunkan kawasan itu.

“Pasukan perundangan serta jurutera kami sudah bertemu dengan pesuruhjaya dan kakitangan bandar ini mengenai laporan penuh mengenai alam sekitar yang dikendalikan pakar perunding kami di lokasi itu,” katanya.

Inter Miami bersiap untuk menyertai MLS pada tahun 2020 sebagai pasukan baharu dan akan beraksi di Fort Lauderdale yang berkapasiti menampung 18,000 penonton.- MalaysiaGazette