Peguamnya, Akberdin Abdul Kader bercakap kepada media selepas penceramah bebas, Dr Zakir Naik hadir untuk memberi keterangan kali ketiga mengenai laporan polis beliau lima individu kerana menfitnah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik akan mengemukakan saman kepada lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran kerana didakwa memfitnahnya.

Empat individu lagi ialah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius

Menurut peguamnya, Datuk Akberdin Abd Kader, pihaknya kini sedang menyediakan surat saman atas kesalahan memfitnah.

“Kami akan memfailkan saman di mahkamah kepada lima individu terbabit.

“Kami akan memfailkannya tidak lama lagi, kami sedang menyediakan surat itu dan memfailkannya tidak lama lagi,” katanya kepada media selepas mengiringi Zakir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

MGF220819_ZAKIR NAIK HADIR IPPBA06
Penceramah bebas, Dr Zakir Naik menaiki sebuah kereta meninggalkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas memberi keterangan kali ketiga. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2019

Zakir dipanggil buat kali ketiga atas laporan polis terhadap kelima-lima individu terbabit atas dakwaan fitnah.

Polis mengambil masa kira-kira empat jam bagi merakam keterangan Zakir yang tiba di Bukit Aman pada jam 3.39 petang tadi.

Tindakan itu dibuat selepas Kula gagal memohon maaf berhubung kenyataan media yang dikeluarkan bertajuk ‘Zakir Naik’s presence in Malaysia is embarrassing to all Malaysians’.

Dalam pada itu, Akberdin menambah, anak guamnya turut membuat satu lagi laporan polis berhubung kenyataan Ramasamy kepada media asing, semalam.

Menurut beliau, Ramasamy telah membuat sidang akhbar kepada media India bertujuan merosakkan imej Zakir.

“Tujuan membuat laporan tersebut untuk polis mengambil tindakan terhadap Ramasamy dan menyiasat perkara itu.

MGF220819_ZAKIR NAIK HADIR IPPBA10
Antara rakaman wawancara antara Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy dan saluran berita India Today yang ditunjukkan dalam sidang media selepas penceramah bebas, Dr Zakir Naik hadir untuk memberi keterangan kali ketiga mengenai laporan polis beliau lima individu kerana menfitnah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2019

“Sidang media itu menuduh Dr Zakir Naik sebagai penipu, pembenci dan racun kepada masyarakat,” kata Akberdin.

Dalam perkembangan berkaitan, Akberdin berkata anak guamnya akur arahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador supaya tidak memberikan ceramah di semua medium, termasuk dalam media sosial.

“Dia akan mematuhi undang-undang sehingga polis selesai siasatan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette