Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Cadangan pembinaan laluan kapal di Tambak Johor merupakan antara beberapa syor yang akan diperhalusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai kesesakan di tambak itu.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ia merupakan beberapa syor yang dikemukakan pada mesyuarat yang berlangsung semalam selain cadangan melebar dan memanjangkan Tambak Johor, membina laluan pejalan kaki berbumbung di tambak itu serta membesarkan kompleks pintu masuk sedia ada di tambak berkenaan.

Selain itu, mesyuarat tersebut juga akan mempertimbangkan beberapa inisiatif bagi menangai kesesakan di kedua-dua pintu masuk.

Antara inisiatif itu ialah meluluskan peruntukan khas dan tambahan bagi Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks
Sultan Abu Bakar (KSAB), menubuhkan satu badan tunggal mengawal sempadan negara dan pintu-pintu masuk termasuk pelabuhan-pelabuhan.

Mengecualikan dasar kawalan pengisian bagi perjawatan di pintu masuk kepada pengisian penuh dan mengadakan kajian bagi mengenal pasti isu, cabaran dan hala tuju untuk keperluan kapasiti penggunaan masa hadapan.

“Mesyuarat menggesa semua Kementerian, Jabatan, Agensi bekerjasama menjayakan inisiatif-inisiatif yang diperakukan mesyuarat, melalui concerted effort ke arah mencari penyelesaian terhadap isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen
dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), iaitu kedua-dua pintu masuk di Tambak Johor,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas pada hari ini bertujuan membuat keputusan dasar yang melibatkan pelaksanaan inisiatif bagi menangani kesesakan di pintu-pintu
masuk di Kompleks Kastam, CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan KSAB di Johor.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor semalam.

Ia merupakan mesyuarat pertama setelah Jemaah Menteri memutuskan supaya satu Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor ditubuhkan pada 20 Jun lalu. – MalaysiaGazette