Petronas

 

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dipilih sebagai Majikan Paling Menarik di Malaysia untuk 2019.

Ia adalah kali kedua Petronas dinobatkan dengan gelaran tersebut, menurut Ranstad – salah sebuah agensi penyelesaian sumber manusia di dunia.

Syarikat tempatan lain yang tersenarai pada kedudukan 10 terbaik bagi Majikan Paling Menarik di Malaysia 2019 ialah AirAsia Berhad dan Sime Darby Berhad.

Pengarah Urusan Randstad di Singapura dan Malaysia, Jaya Dass berkata, ini merupakan kali keempat Randstad menyampaikan Anugerah Jenama Majikan Randstad di Malaysia.

Menurutnya, para pemenang adalah majikan yang cemerlang dalam mewujudkan jenama majikan yang kukuh di tengah-tengahnya pasaran yang dinamik dan berdaya saing.

Selain Petronas, sembilan lagi majikan turut disenaraikan mengikut turutan iaitu Shell Malaysia, Nestlé (Malaysia) Berhad, Intel Malaysia Sdn. Bhd., Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd., AirAsia Berhad, IBM Malaysia Sdn. Bhd., Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd., Sime Darby Berhad dan Sony EMCS (Malaysia) Sdn. Bhd.

Penyelidikan Jenama Majikan Randstad 2019 meneroka “persepsi terhadap jenama majikan, menyediakan
pemahaman yang unik mengenai pekerja dan pencari kerja.

Ia merupakan penyelidikan terbesar dan bebas dengan menawarkan pandangan daripada lebih 200,000 responden dan 6,162 syarikat di 32 pasar di seluruh dunia, termasuk 2,504 pekerja dan pencari kerja di Malaysia. – MalaysiaGazette