Nik Mohd Hasyudeen Yusoff
Nik Mohd Hasyudeen Yusoff

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) bakal mendapat Pengarah Urusan Kumpulan yang baharu berkuatkuasa 1 September ini.

Penyandang jawatan itu juga turut akan memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif menggantikan Datuk Seri Zukri Samat yang menamatkan kontrak perkhidmatannyalebih awal atas faktor kesihatan setelah menyumbang lebih setahun di badan berkanun berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, tempat Zukri akan digantikan dengan Nik Mohd Hasyudeen Yusoff yang merupakan Felo badan perakaunan profesional di Australia (CPA) dan Ahli di Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Menurutnya, Nik Mohd Hasyudeen juga merupakan ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat termasuk BIMB HoldingsBerhad, Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB Investment Management Berhad, CagamasHoldings Berhad, TH Plantations Berhad, Malaysia Professional Accountancy Center(MyPAC), Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) dan Al-Hijrah Media Corporation.

“Beliau yang pernah menyandang beberapa jawatan kanan di Suruhanjaya SekuritiMalaysia sebagai Pengarah Eksekutif Penyeliaan Pasaran dan Korporat serta Pengerusi Eksekutif Lembaga Penyeliaan Audit mempunyai pengalaman luas serta kepakaran dalam bidang perakaunan, kewangan korporat, pasaran modal dan perbankan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mujahid turut mengucapkan penghargaan kepada Zukri di atas sumbangan dan komitmennya dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan TH.

Katanya, dalam tempoh yang singkat, beliau telah berjaya melaksanakan proses pemulihan dan penstrukturan semula kedudukan kewangan TH bagi mengatasi kedudukan defisit aset yang dialami.

“Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan proses tadbir urus serta pengurusan yang telus bagi menjaga kepentingan para pendeposit.

“Sumbangan dan panduan yang telah diberikan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya kini telah meletakkan TH pada kedudukan kewangan yang lebih stabil bagi melaksanakan mandat utama TH sebagai institusi yang amat penting dalam membantu umat Islam di Malaysia melaksanakan rukun Islam kelima,” ujarnya.

Mujahid berkata, Nik Mohd Hasyudeen merupakan seorang yang berkelulusan Sarjana Perniagaan dari Curtin University of Technology, Australia dan pernah menyertai Program Lanjutan Pengurusan Perniagaan, IMD International Switzerland. – MalaysiaGazette