Antara logo Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018

JOHOR BAHRU — Dua anggota polis cedera apabila kereta peronda dinaiki terbabas dan terbakar ketika mengejar sebuah kereta di Jalan Persiaran Nusa Damai, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku kira-kira 3.30 pagi ketika kedua-dua Lans Koperal itu yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Nusa Damai Utama telah mengesan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, kedua-dua anggota itu kemudian menghampiri kenderaan tersebut dengan membunyikan siren dan memasang ‘beacon light’ sambil mengarahkan pemandu kereta berkenaan berhenti, namun pemandu kereta tersebut terus memecut laju dan memaksa polis mengejarnya.

“Selepas membuat pusingan U, pemandu (kereta polis) gagal mengawal kenderaan setelah terlanggar bonggol jalan raya lalu terbabas di tepi jalan sebelum terbalik.

“Akibat kemalangan tersebut, kereta peronda polis jenis Proton Wira itu terbakar namun kedua-dua anggota terbabit berjaya menyelamatkan diri,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail berkata, kedua-dua anggota lelaki itu kemudian dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Ismail, di sini.

Katanya, usaha mengesan kereta dan suspek yang dikejar polis dalam kejadian itu masih dijalankan. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.