KUALA LUMPUR – Paul Yong yang didakwa atas tuduhan merogol semalam perlu bercuti sementara menunggu keputusan pertuduhan jenayah yang dihadapinya.

Ia adalah selaras dengan tadbir urus yang baik.

Naib Presiden Centre for a Better Tomorrow (Cenbet) Simon Lim Seng terkejut apabila Paul denggan bercuti meskipun dinasihatkan untuk berbuat demikian oleh Menteri Besar Perak.

Katanya, pertuduhan yang dihadapi oleh Paul adalah sangat berat dan ia berlaku dalam parti yang mempromosikan tadbir urus yang baik.

“Ini adalah selaras dengan tadbir urus yang baik, yang mana penjawat awam bukan sahaja harus bersih dan jujur tetapi ia perlu bersikap begitu,” kata Simon dalam satu kenyataan di sini.

Langkah itu adalah amalan standard oleh penjawat awam dalam demokrasi yang matang di seluruh dunia dengan mengambil cuti atau meletak jawatan selepas terlibat dalam salah laku termasuk kesalahan lebih ringan daripada rogol.

Sekiranya Paul komited dengan tadbir urus yang baik yang mana parti dan gabungannya telah berjanji untuk menegakkannya, maka dia harus mengambil cuti dengan segera.

“Tidak perlu menunggu sehingga perbicaraannya berakhir,” katanya lagi.

Dalam sebarang kes, sekiranya Paul dibebaskan daripada pertuduhan rogol, dia boleh kembali ke jawatan lamanya.

“Mengambil cuti bukan pengakuan salah, tetapi untuk mempertahankan kesucian pentadbiran negeri. Ia adalah perkara yang dihormati.

“Sebagai organisasi yang menegakkan tadbir urus yang baik, kami percaya bahawa penjawat awam yang terlibat dalam salah laku harus mengambil cuti, jika tidak meletakkan jawatan.

“Pada bulan Julai 2015, kami juga meminta Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak mengambil cuti ekoran skandal 1MDB,” ujar beliau lagi.

Semalam Paul dilaporkan berkata bahawa beliau masih memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak serta belum dijatuhkan hukuman.

“Saya tidak buat apa-apa. Saya masih lagi Exco Kerajaan Negeri dan saya akan berkhidmat untuk rakyat yang memberi mandat kepada saya.

“Mengapa saya perlu bercuti Saya belum dijatuhkan hukuman,” katanya.

Yong, 49, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berusia 23 tahun, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette