PTPTN
Seorang peminjam selesai melunaskan tanggungjawab membuat pembayaran pinjaman PTPTN di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia mempertimbangkan cadangan menambah jumlah Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) yang ditawarkan kepada pelajar yang layak menerimanya pada masa akan datang.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pada ketika ini jumlah WPP yang ditawarkan kepada pelajar yang layak menerima adalah sebanyak RM1,500 seorang.

“PTPTN ada terima permintaan supaya pertimbangkan tambahan jumlah WPP yang diberi kepada pelajar yang layak.

“Setakat ini, itulah jumlah (RM1,500) yang PTPTN berikan tetapi saya rasa ia boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa supaya pelajar mendapat yang terbaik pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan WPP kepada pelajar dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, malam ini.

Pada majlis itu, seramai 359 pelajar ditawarkan WPP bagi sesi kemasukan pengajian peringkat ijazah ke universiti awam sesi September 2019 ini dengan peruntukan sebanyak RM538,500.

Bagi kemasukan pengajian peringkat ijazah ke universiti awam sesi September 2019 ini, PTPTN mengeluarkan waran WPP sebanyak RM31 juta kepada 20,716 pelajar seluruh negara.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, PTPTN menyasarkan bayaran balik pinjaman PTPTN pada ketika ini sebanyak RM2 bilion daripada peminjamnya.

“Pencapaiannya…insya-Allah kita dalam sasaran dan akan mempergiatkan usaha untuk memastikan para peminjam membuat bayaran balik pinjaman PTPTN dan pegawai kami sentiasa bergerak untuk bertemu dengan peminjam bagi memberi sebarang maklumat dan bantuan yang diperlukan.

“PTPTN juga mempunyai rancangan untuk membantu mempermudahkan pembayaran semula pinjaman kepada peminjam yang akan diumumkan kemudian,” katanya. — Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.