Menteri Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas menghadiri Program Bicara Kemerdekaan Kedua anjuran Institut Harimau Asia di Akademi Kenegaraan Bukit Petaling, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 OGOS 2019

KUALA LUMPUR- Kerajaan tidak akan berkompromi dengan kumpulan yang cuba mencetuskan ketidakharmonian di dalam negara dengan menimbulkan isu-isu perkauman, keagamaan dan institusi beraja (3R).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan taklimat yang diberikan oleh pihak polis kepada beliau dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, jumlah insiden yang tercetus akibat isu-isu 3R meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding tahun lepas.

“Insiden-insiden tersebut berlaku di banyak tempat tetapi apabila dirangkumkan, ianya meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.

“Dalam situasi sekarang ini, kita hendak rakyat faham bahawa suhu berkaitan sentimen kaum dan agama sedang meningkat.

“Ia perlu perlu diturunkan secepat mungkin kerana itu lebih baik untuk negara.

“Tetapi jika ada pihak yang tidak berpuas hati dan tidak mengambil kira mengenai peningkatan suhu akibat sentimen ini, ia bermakna ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku (kepada keselamatan negara).

“Kalau ada pihak-pihak tidak bertanggung jawab berbuat sesuatu untuk mencetuskan sentimen perkauman atau keagamaan atau institusi beraja, kita tidak boleh berkompromi.

“Tindakan undang-undang sedang diambil dan akan terus diambil. Kita bukan setakat memberi amaran sahaja.

“Saya telah mengarahkan pihak polis untuk bertindak mengikut apa sahaja undang-undang ada,” katanya semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Forum Merdeka di sini hari ini.

Dengan itu Muhyiddin meminta semua pemimpin kerajaan, pemimpin politik, badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum atau kumpulan tertentu supaya mengambil kira fakta peningkatan insiden membabitkan isu-isu 3R itu secara serius bagi keselamatan negara tidak diperjudikan.

“Kita akan menyambut ulang tahun ke-62, saya tidak mahu apa yang telah terbina runtuh disebabkan pengkhianatan kepada negara,” katanya sambil menambah kerajaan Pakatan Harapan sentiasa mengalu-alukan kebebasan bersuara dan kebebasan media tetapi perlu disulami dengan rasa tanggung jawab demi menjaga keharmonian semua pihak dan keselamatan negara.

Ketika ditanya mengenai perhimpunan Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil di Brickfields semalam meskipun tidak mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada budi bicara pihak polis.

“Kita ada Akta Perhimpunan Aman, ia ada peraturan-peraturan tersendiri.

“Tetapi jika tidak memenuhi syarat dan masih diteruskan maka pada saya, ia sudah menjadi satu kesalahan.

“Terserah kepada budi bicara pihak polis untuk bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya lagi.

Semalam pihak polis telah menahan dua individu bagi merakam keterangan berhubung pengajuran perhimpunan haram itu.

Dua lelaki terbabit ditahan selepas peserta perhimpunan itu diminta bersurai oleh polis pada jam kira-kira 7.30 malam.

Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, kata polis.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bukti jelas Menteri Perpaduan telah berjaya melakukan tugas beliau dengan cemerlang. Kena bagi bonus 5 bulan gaji ni.

Comments are closed.