Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya berucap pada Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional di Hotel International Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menegaskan tanah di negara ini adalah tanah Melayu dan milik orang Melayu.

Pengerusinya, Aminuddin Yahya berkata, ia dibuktikan dengan pelbagai fakta sejarah walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa ia milik orang India.

Namun ujarnya, atas kebaikan dan toleransi bangsa Melayu yang telah sanggup berkongsi tempat tinggal dengan bangsa-bangsa lain.

“Tetapi ini tidak bermakna mereka boleh menghapuskan identiti negara dan bangsa Melayu.

“Kalau orang China ada negara Chinanya, orang India ada negara Indianya maka kenapa orang Melayu mahu dihapuskan negaranya? Hanya mahu dikenal negara pelbagai kaum?

“Islam tidak pernah menolak bangsa kerana kewujudan bangsa ada ciptaan Allah SWT,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional di sini hari ini.

Aminuddin berkata, Ummah menggesa agar segala khazanah Melayu perlu diangkat kembali baik dari segi tamadun, sejarah pejuangan, pendidikan, bahasa dan tulisan mahupun seni dan budayanya.

Jelasnya, Ummah tidak mahu negara hilang identitinya hanya kerana mahu mengambil hati bangsa lain.

“Ini bukan bermakna kita menolak keberadaan bangsa-bangsa lain dinegara ini tetapi toleransi kita jangan sampai kita menghancurkan nilai bangsa sendiri.

“Terbukti, toleransi yang dianggap mampu mendapat sokongan mereka akhirnya tersungkur dibumi sendiri.

“Jika pemimpin Melayu masih tidak sedar akan sejarah pahit ini maka pasti sejarah akan berulang kembali dan layaklah agama dan bangsa ini lenyap di bumi tercinta ini,” katanya.

Aminuddin menegaskan, UMMAH juga menuntut semua hak orang Melayu mesti dikembalikan seperti Tanah Rezab Melayu yang telah digadai dan hak mendapat biasiswa yang hari ini telah diambil bangsa lain.

“Selain itu, hak mendapat pekerjaan di sektor awam, hak mendapat kemudahan perniagaan, hak untuk dimartabatkan Bahasa Melayu termasuk Jawi yang semuanya telah dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan,” katanya. – MalaysiaGazette