Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada 'Persidangan Pelancongan Sedunia 2019' di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia sedang mengkaji untuk menerbitkan satu lagi Bon Samurai selepas terbitan pertama berjaya pada Mac lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana kerajaan Jepun boleh memberikan kadar faedah hutang yang lebih rendah.

“Kami sedang mengkaji bagaimana untuk menggunakan wang yang lebih murah bagi menyelesaikan masalah kewangan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Dunia 2019 di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan Jepun menawarkan kadar pembiayaan yang lebih rendah untuk Bon Samurai kedua ini berbanding 0.65 peratus yang ditawarkan kepada bon yang diterbitkan awal tahun ini.

Dalam perkembangan berbeza, Dr. Mahathir mengutuk perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang masih berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, sekiranya ada perbalahan dari segi kadar cukai yang perlu dikenakan, kedua-dua negara itu sepatutnya mengadakan rundingan dan bukannya berbalah.

“Perang perdagangan adalah bodoh.

“Jika tidak bersetuju dengan defisit cukai, mereka sepatutnya berbincang,” tegasnya.

Perang perdagangan masih belum berkesudahan itu telah menjadi antara penyumbang kepada ketidaktentuan ekonomi global ketika ini. – MalaysiaGazette