Jurucakap Gagasan Sejahtera, Kamarulzaman Mohamad bercakap pada sidang media perkembangan terkini Gagasan Sejahtera di Pusat Media, Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Pas hari ini menuntut agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan perhatian serius terhadap tindakan pemimpin DAP, Dr Ramasamy Palanisamy yang dilihat cenderung terlibat dengan kumpulan yang dilabel pengganas.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad, tindakan berhubung dengan pengganas boleh mendorong kepada aktiviti keganasan dan mengundang campur tangan asing dalam hal ehwal negara ini.

“Tindakan pemimpin DAP, Dr Ramasamy Palanisamy dalam siaran langsung wawancara eksklusif bersama Editor Republic, Niranjan di stesyen televisyen negara India itu yang secara tegas mahu memberi tekanan kepada Perdana Menteri Malaysia dalam isu Dr Zakir Naik.

“Malah, memberi bayangan berbaur keganasan bahawa Dr Zakir Naik tidak layak hidup di Malaysia mahupun di mana-mana dunia bertamadun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II berkata, Zakir sebagai penipu, pembenci dan racun kepada masyarakat.

Ramasamy berkata demikian semasa diwawancara oleh stesen televisyen India, Republic yang disiarkan secara langsung pada 13 Ogos lalu.

Kamaruzaman berkata, Ramasamy juga pernah dilaporkan mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) di Sri Lanka.

Bahkan tersebar juga gambar beliau bersama ADUN Bagan Dalam, Satees Muniandy menyembah lambang Kalashnikov atau rifal AK-47 yang menjadi ritual kumpulan pemberontak tersebut.

“Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP ini turut pernah memuat naik di media sosial gambar bersama Setiausaha Agung Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam (MDMK), Gopalasamy Vaiko.

“Selain pernah juga dimuat naik gambar Gopalasamy yang terbabit bersama LTTE di mana hadir ke majlis perkahwinan anak Dr Ramasamy di Pulau Pinang pada tahun 2017, sekali gus menunjukkan eratnya hubungan mereka,” kata Kamaruzaman lagi. – MalaysiaGazette