Delegasi Rangkaian Global La Liga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Taklimat La Liga Musim 2019 / 2020 di The Social, Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Persiapan Malaysian Football League (MFL) ke arah melaksanakan peraturan kawalan ekonomi dalam Liga Malaysia (Liga M) bermula Februari 2020 disifatkan tepat pada masa.

Salah seorang delegasi La Liga Global Network Malaysia, Giorgio Pompili Rossi berkata, kerjasama strategi yang lama terjalin dengan MFL Malaysia kini merupakan petanda aras yang baharu.

Katanya, selepas peraturan itu diperkenalkan, La Liga berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak 90 juta euro (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada 2017, sekali gus menyelesaikan kemelut gaji antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.

Cara berkenaan jelasnya, sistem kawalan ekonomi La Liga berjaya mengurangkan jumlah hutang daripada 340 kes pada 2012 dan menjadi sifar pada 2017 yang mana pasukan terlibat berjaya melangsaikan hutang dalam tempoh lima tahun.

“Pada 2012, beberapa pasukan daripada 42 kelab La Liga berdepan status bankrap tetapi dengan melaksanakan sistem kawalan ekonomi menyaksikan mereka berjaya menyelesaikan hutang dan berbelanja mengikut kemampuan kewangan.

“Dengan mengenakan kawalan ekonomi, setiap pasukan perlu membentangkan jumlah kewangan yang mereka ada untuk bertanding dengan kontrak penajaan yang sah mengelak perjanjian lisan.

“Pelan induk (Blueprint) diumumkan pada Julai lalu yang mana MFL akan melaksanakan peraturan kawalan ekonomi dalam Liga Premier Malaysia.

“Itu langkah yang sangat penting untuk mereka dan kami sangat bangga menjadi sebahagian dalam perkembangan penting ini untuk membawa pembaharuan dalam Liga Malaysia ke arah kejayaan seperti yang dicapai La Liga,” katanya pada taklimat pembangunan La Liga Sepanyol di Bangsar tengahari tadi.

Delegasi Rangkaian Global La Liga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Taklimat La Liga Musim 2019 / 2020 di The Social, Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 OGOS 2019

Justeru katanya, penaja utama La Liga Santender termasuk poengeluar bola rasminya, Puma akan mengadakan pelbagai aktiviti di Malaysia selepas ini untuk mendedahkan idea dan pelaksanaan teknologi bola sepak dalam Liga M.

Menurutnya, pihaknya juga dalam proses mengadaptasikan produk La Liga ke pasaran Malaysia menerusi kaedah terbaik berkomunikasi dan berhubung dengan MFL.

Gorgio berkata, pihak mempunyai misi untuk memastikan setiap liga bola sepak khususnya di Malaysia tidak menjana beban hutang yang banyak, sebaliknya mampu menjana pertumbuhan pendapatan yang menguntungkan kelab dalam semua aspek.

Tambah beliau, pihaknya memeriksa setiap kelab di La Liga pada peringkat awal pelaksanaan kawalan ekonomi dan ia menjadi petunjuk model terbaik kepada MFL untuk memajukan kelab di bawah naungannya.

“Apa yang biasanya kami buat sebagai sahabat rapat MFL Malaysia ialah berkongsi segala input dan idea serta kaedah keberkesanan pelaksanaan kawalan ekonomi kelab bola sepak kami yang akan membantu mereka dalam proses jangka panjang.

“Menerusi peraturan kawalan ekonomi ini peraturan yang sama dan bersepadu untuk semua kelab akan mengadaptasikan struktur kawalan dan mengorganisasikan dengan baik perbelanjaan dan pendapatan kelab mereka mengikut apa yang dinasihati la liga.

“Ia sudah pasti memerlukan memerlukan masa panjang untuk mencapai objektifnya tapi kini boleh kata ia sangat berjaya yang mana lapan tahun lalu mereka (La Liga) dilanda hutang besar kini sifar hutang yang harus menjadi petunjuk kepada liga lain,” tegasnya lagi.

Sebelum ini Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, di bawah sistem yang akan dilaksanakan secara berfasa mula tahun depan, setiap perbelanjaan pasukan akan dikawal termasuk pembelian pemain menerusi pelaksanakan sistem kawalan ekonomi.

Sebagai contoh katanya, meskipun MFL mempunyai dana RM50 juta, tapi mereka hanya dibenarkan berbelanja seba­nyak RM20 juta bagi memastikan kewangan stabil untuk musim seterusnya.

Pada 4 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail pula melahirkan kekecewaan betapa industri bola sepak Malaysia dalam keadaan tenat kerana masalah tunggakan gaji terus melanda saingan bola sepak tempatan dan ianya dianggarkan sekitar RM6.4 juta.

Giorgio mengulangi keyakinannya bahawa Liga M mempunyai masa depan yang baik menerusi pelaksanaan sistem peraturan kawalan ekonomi tetapi menegaskan ia akan memakan masa untuk mendapatkan hasilnya.

“Saya akan sokong MFL dan Malaysia melaksanakan sistem ini dan sedia memberi segala input serta tunjuk ajar demi pembangunan kelab bola sepak Malaysia,” ujarnya.

Giorgio juga mengakui sedang merancang untuk memastikan Asia Tenggara yang merupakan rantau utama perkembangan bola sepak di Asia menjadi tumpuan destinasi pasukan La Liga dengan lebih kerap mengadakan perlawanan jelajah pramusim.- MalaysiaGazette