KUALA LUMPUR – Memang ada kewajaran untuk bertoleransi dan memberikan kebebasan kepada semua pihak termasuk golongan pimpinan tertinggi seperti menteri, namun ia seharusnya tidak melampui batas.

Malah dengan begitu agresif dan sesuka hati membuat kenyataan apatah lagi mengejar ‘publisiti’ murahan sehingga mencetuskan rasa huru hara sudah tidak boleh dikompromi lagi.

Bagaimanapun, pada masa yang sama orang ramai kini jauh lebih bijak menilai golongan bodoh sombong dan tin kosong ini yang hanya menyusahkan suasana.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi, pada masa ini terlampau banyak pihak, termasuk golongan pemimpin dalam kerajaan yang begitu taksub dalam mengeluarkan kenyataan sehingga mencetuskan rasa tidak senang yang kemudian berakhir dengan pergaduhan sesama sendiri.

“Sebenarnya sikap toleransi ini antara dua belah pihak (two way street), jika mahu harmoni dan perpaduan seperti yang dilaung-laungkan itu, kita juga sepatutnya bersikap demikian.

“Ini tidak, kenapalah ada kumpulan yang terlampau ‘bodoh dan sombong’ seperti ini?

“Saya beri anda contoh, seorang pemimpin kanan yang bergelar Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin yang bertindak sungguh bodoh dengan menyamakan Skuad Sabil dengan penjaga keselamatan ‘Bangla’ hari ini.

“Adakah ini sengaja atau memang buat-buat tidak tahu, dan apakah sebenarnya motifnya itu? Anda sudah bergelar Timbalan Menteri, berpada-padalah. Jangan buat seperti masih dalam pembangkang. Malu sikit,” katanya.

Kata Mohamed Nizham lagi, tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Sekat pula menyeru pelajar sekolah rendah ponteng sekolah sehingga kerajaan mengubah pendirian dalam isu pengenalan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

“Sekat mengugut untuk berhenti anak-anak ke sekolah adalah satu perkara sungguh tidak masuk akal, semua ini untuk apa? Untuk publisiti politik murahan tetapi yang menjadi mangsa adalah rakyat yang tidak bersalah selain daripada mengundi kerajaan yang mereka mahu.

“Golongan-golongan ini perlu dihentikan, sabar dan toleransi ini sebenarnya ada had. Banyak lagi contoh boleh disenaraikan dengan tahap ‘bodoh sombong’ ini, cukup-cukuplah berpolitik begini,” katanya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/26/timbalan-menteri-diserang-gara-gara-samakan-skuad-sabil-dengan-pak-guard-dari-bangladesh/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/25/tulisan-jawi-sekat-ajak-pelajar-ponteng-sekolah-sebagai-protes-terakhir/