Romelu Lukaku

MILAN – Penyerang Romelu Lukaku mula melaungkan amaran apabila menjaringkan gol pada penampilan sulung dengan membantu Inter Milan mencatat kemenangan 4-0 ke atas Lecce awal pagi tadi.

Kemenangan besar turut melengkapkan permulaan sempurna buat jurulatih baharu Inter, Antonio Conte.

Lukaku yang dibeli dengan harga 65 juta euro (RM302 juta) pada musim panas ini dari Manchester United menjaringkan gol ketiga selepas 30 minit beraksi di San Siro.

Kesilapan penjaga gol Lecce, Gabriel yang menolak bola ke laluan Lautaro Martinez memberikan ruang buat Lukaku menyudahkannya.

Sejurus itu, pemain berusia 26 tahun itu memberi penghormatan kepada penonton Inter antara 65,000 yang hadir pada perlawanan itu.

Pemain Croatia, Marcelo Brozovic membuka jaringan pada minit ke-21 sebelum seorang lagi pemain baharu, Stefano Sensi, yang dipinjam dari Sassuolo turut mencatat nama sebagai penjarinh tiga minit kemudian.

Antonio Candreva menjaringkan gol keempat pada minit ke-84 seterusnya memberikan Inter laluan untuk mengekori juara lapan kali Juventus dan naib juara, Napoli yang masing-masing menang perlawanan pembukaan hujung minggu lalu. – MalaysiaGazette