KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan skuad kebangsaan Nepal 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi.

JDT tidak berdepan masalah untuk untuk membuka tirai gol pada minit ketiga perlawanan berkenaan.

Gol kemenangan untuk pasukan tuan rumah berpunca daripada bola rembatan Nicolas Fernandez namun bola terkena kaki Devendra Tamang menyaksikan penjaga gol, Bikesh Kutthu tergamam melihat bola menerjah ke gawang pintu gol pasukannya.

Skuad kendalian Johan Kalin yang tersentak dengan gol awal mula menyusun strategi bagi memburu gol penyamaan namun menghadapi kesukaran untuk melepasi benteng pertahanan yang dikawal Mohd Fadhli Shas dan Adib Zainuddin.

JDT yang majoriti dibarisi pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berjaya menguasai perlawanan hingga akhir menerusi gerakan berbahaya bermula di posisi tengah yang direncana Fernandez sambil di bantu S Kumaahran kerap mengkucar-kacir benteng skuad The Gorkhalis.

Percubaan terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-69 apabila bola sepakan percuma Rozaimi Abd Rahman dari jarak 25 meter menuju tepat ke gawang gol namun Bikesh bersedia untuk menampan bola untuk kedudukan 1-0 memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan. – MalaysiaGazette