SendParcel, platform baharu daripada Pos Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan Pos Laju SendParcel – sebuah platform dalam talian yang memberi kemudahan kepada pelanggan.

Dengan adanya platform ini, proses menguruskan penghantaran barangan yang biasanya memakan masa terutamanya bagi pengusaha perniagaan eDagang menjadi lebih mudah.

“Dengan SendParcel, para pelanggan dapat menikmati tawaran harga terbaik, perkhidmatan kutipan barangan percuma dan tidak perlu lagi mengisi label penghantaran atau nota konsainan secara manual kerana ia akan dijana secara automatik oleh sistem dalam talian tersebut.

“Selain itu, platform ini juga membolehkan pelanggan menguruskan penghantaran pukal dan alamat secara dalam
talian, mendapatkan kadar penghantaran serta-merta dengan sebut harga segera, kemudahan laporan dan penjejakan barangan serta kredit bonus untuk pelanggan setia kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor.

Menurutnya, SendParcel pasti memberi manfaat kepada orang ramai terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dan usahawan mikro serta pemain perniagaan sektor eDagang.

Untuk menggunakan SendParcel, pelanggan hanya perlu membuka akaun dengan Pos Laju dan menambah kredit di www.poslaju.com.my.

Katanya, terdapat 8 pakej bernilai tambah yang menawarkan kadar dan faedah yang menarik. – MalaysiaGazette