Menteri Besar Perak, Datuk Sri Ahmad Faizal Azumu

IPOH – Kerajaan negeri tidak menetapkan jangka masa untuk Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong bercuti daripada tugasan rasmi beliau.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata langkah itu bagi membolehkan Yong memberikan fokus kepada perbicaraan kes rogol yang dihadapinya ketika ini.

“Kita setuju dengan tindakan Yong untuk bercuti daripada menjalankan tugas rasmi sebagai Exco. Ini tepat untuk beliau memberikan fokus kepada perbicaraan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas program Kempen Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok.

Ahad lepas, Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mengumumkan keputusannya untuk bercuti daripada tugasan sebagai Exco, dua hari selepas menyatakan keengganan berbuat demikian sebagaimana dinasihatkan oleh menteri besar.

Pada 23 Ogos, Yong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol seorang pembantu rumahnya warga Indonesia pada 7 Julai lepas.

Mengenai pentadbiran kerajaan negeri, Ahmad Faizal berkata ketiadaan Yong tidak akan menimbulkan masalah kerana yakin Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang lain akan memberikan kerjasama.

“Portfolio Yong akan berjalan seperti biasa dengan saya akan melaksanakannya, tidak perlu apa-apa perubahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai cadangan penubuhan unit integriti di pejabat Menteri Besar.

Menurut Ahmad Faizal, Pejabat Menteri Besar Perak sebelum ini mempunyai seorang pegawai SPRM, namun berlaku kekosongan setelah individu berkenaan mendapat kenaikan pangkat dan berpindah.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menggesa Pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri di seluruh negeri menubuhkan unit integriti bagi memastikan setiap urusan yang dilakukan lebih telus.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.