KPM

JOHOR BAHRU – Seramai 33 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, di Pasir Gudang mengalami loya dan muntah-muntah selepas mengadu terhidu bau busuk di sekolah berkenaan, pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Johor Ab Rahim Lamin berkata, pada awalnya seramai 25 murid dilaporkan mengalami simptom berkenaan pada kira-kira 7.30 pagi sebelum bertambah kepada 33 murid pada 9 pagi tadi.

“Kesemua murid melibatkan lima lelaki dan 28 perempuan. Seramai 17 daripada mereka merupakan murid tahun empat, tujuh murid tahun lima dan sembilan murid tahun enam,” katanya yang dihubungi hari ini.

Ab Rahim berkata kesemua mereka sudah dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang untuk rawatan dan pihak sekolah juga sudah menghubungi bomba untuk tindakan bersesuaian.

Beliau berkata daripada keseluruhan 33 murid juga, 17 daripada mereka iaitu tiga murid lelaki dan 14 perempuan merupakan murid terkesan berulang iaitu pernah mengalami simptom berkenaan sebelum ini.

Katanya sesi persekolahan, bagaimanapun, diteruskan dengan memindahkan kesemua murid yang berada di tingkat tiga dan empat ke bangunan-bangunan di tingkat bawah.

Beliau berkata SK Taman Pasir Putih mempunyai keseluruhan 1,119 murid dengan dua sesi persekolahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast