Ketua Penerangan Parti IKATAN Bangsa Malaysia Pusat, Nik Marhalim Mohd Bakri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa membuat siasatan terhadap punca pembayaran royalti minyak kepada Kelantan sehingga kini belum dilunaskan.

Kata Ketua Penerangan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Nik Marhalim Mohd. Bakri, Kelantan tidak sepatutnya diberikan berita buruk itu apatah selepas kerajaan negeri itu telah menarik semula menarik balik tuntutan saman yang difailkan sembilan tahun lalu.

“Buktikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu berbuat demikian. Tunaikan janji. Rakyat sedang memerhati.

“Parti ikatan menggesa Perdana Menteri segera menyiasat dakwaan Timbalan Menteri Besar Kelantan dalam satu laporan bahawa urusan bayaran pembayaran royalti kepada kerajaan Kelantan masih tersekat di bawah Kementerian Kewangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nik Marhalim berharap janji Tun M dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan ditunaikan dan khabar berita akan diberikan kepada Kelantan menjelang Hari Kemerdekaan Ke-62  ini.

“IKATAN percaya bahawa janji Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tempoh hari bukanlah sandiwara sebaliknya ikhlas untuk membantu rakyat Kelantan,” tambahnya,

Azmin pada 8 Mac yang lalu berkata kerajaan dijangka akan menyelesaikan royalti petroleum Kelantan pada April namun Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah semalam berkata sehingga kini proses tersangkut di Kementerian Kewangan.

Justeru Mohd Amar berkata sepatutnya perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. -MalaysiaGazette