Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) sambil diiringi Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan (dua kanan) menyaksikan pertukaran memorandum diantara Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid (kiri) dengan Pengurus Negera, Agensi Pekerjaan Jobstreet Sdn Bhd, Gan Bock Herm (kanan) semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman diantara PTPTN dengan NCCIM, Jobstreet.com Sdn Bhd dan Jabatan Tenaga Kerja Semananjung Malaysia pada National Economic Forum 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga entiti bagi membantu peminjamnya mencari kerja dan membina kerjaya lebih baik.

Ketiga-tiga entiti itu ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Jobstreet.com dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Kerjasama itu dilihat sebagai usaha PTPTN untuk meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman dijangka memanfaatkan kira-kira sejuta peminjamnya.

Sebagai peneraju pinjaman pendidikan, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya melihat masalah yang dihadapi peminjam yang sukar mencari pekerjaan sebagai salah satu masalah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Langkah kerjasama ini adalah bagi membantu mengatasi masalah ini walaupun ia di luar bidang kuasa dan fungsi kami.

“Ia adalah sebahagian usaha PTPTN membantu peminjam mencari pekerjaan dan memudahkan urusan mereka untuk memulakan bayaran balik pinjaman 12 bulan selepas tamat pengajian selain membantu peminjam yang terdahulu (bermula tahun 1997) sekiranya mereka masih menganggur atau memerlukan pekerjaan lebih baik.

“Kerjasama ini diharap dapat membantu peminjam yang sehingga hari ini tidak mampu membayar langsung atau tidak mampu membayar secara konsisten,” katanya dalam sidang media selepas majlis pemeteraian MoU itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) petang tadi.

Pada majlis yang disaksikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, PTPTN diwakili Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid, NCCIM diwakili Bendahari Kehormatnya, Don Nazwin Don Najib manakala Jobstreet.cpom diwakili Pengurus Negaranya, Gan Bock Herm.

Wan Saiful berkata, beliau mengharapkan lebih banyak syarikat swasta tampil memanfaatkan peluang kerjasama dengan menikmati insentif pelepasan cukai sekiranya sanggup membayar pinjaman pendidikan yang ditanggung pekerja mereka.

Dalam pada itu, Don Nazwin berkata, MyJobs dibawah NCCIM merupakan platform untuk majikan mempromosi kekosongan jawatan, sekali gus menjadi saluran untuk peminjam PTPTN mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka.

Menurutnya, platform berkenaan akan membantu membina pengkalan data permohonan pekerjaan yang boleh digunakan terutama ahli-ahli NCCIM untuk memenuhi keperluan mencari calon yang layak mengisi kekosongan jawatan dengan segera.

“Sebanyak 65,000 majikan yang merupakan ahli NCCIM dijangka menyediakan pekerjaan yang memenuhi permintaan pekerjaan bertaraf kontrak atau program latihan sebagai penyelesaian jangka pendek sebelum diserap secara tetap,” ujarnya.

Dalam pada itu, Gan Bock Herm pula menjelaskan Jobstreet sebagai portal kerjaya yang mendaftar 90,000 majikan di dalam dan luar negara dapat mewujudkan peluang kepada PTPTN dalam menyediakan semua fungsi pencarian pekerjaan.

“Di samping itu kita juga menyediakan perkhidmatan tambahan meliputi penyediaan modul pembelajaran seperti persediaan menghadapi temuduga, pembelajaran kemahiran asas, penyediaan resume dan banyak lagi dalam bentuk video pendek untuk latihan kepada peminjam PTPTN,” katanya. – MalaysiaGazette