Siri jelajah sesi taklimat mengenai ECP telah memulakan langkah apabila MFL mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

KUALA LUMPUR –  Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Anizam Jamian berpendapat Program Kawalan Ekonomi (ECP) akan menjadi jalan penyelesaian terbaik buat kelab-kelab Liga Malaysia dalam misi menangani masalah hutang khususnya tunggakan gaji pemain.

Ini kerana Anizam mengakui ECP yang bakal dilaksanakan oleh Malaysian Football League (MFL) pada musim depan, akan menjadi sistem yang menentukan kemampuan mereka daripada sudut kewangan selain keupayaan bertahan lama dalam saingan liga domestik.

Jelasnya, setiap kelab-kelab bertanding dijangka lebih teliti ketika membuat keputusan yang mana mereka hanya dibenarkan mendapatkan khidmat pemain berdasarkan kemampuan kewangan secara rasmi selepas mengisytihar pendapatan kelab kepada MFL sebaik sistem ini berkuatkuasa pada musim depan.

“Bagi pihak JDT, saya melihat bahawa ECP ini adalah satu langkah yang baik untuk perjalanan pengurusan kewangan semua kelab bola sepak dalam Malaysia.

“Ini kerana dengan adanya aturan sebagaimana yang dibentangkan (oleh MFL), saya melihat setiap kelab akan lebih teliti dalam membuat persiapan bajet dan seterusnya menjalankan urusan berkaitan dengan perolehan pada masa akan datang.

“Contohnya pembayaran gaji pemain dan pengurusan kelab akan menjadi teratur dan jika tiada sistem sebegini, kita kadang-kadang tidak sedar kelab kita sebenarnya memiliki kemampuan untuk belanja atau sebaliknya yang menyebabkan banyak kelab terpaksa tidak dapat membayar gaji pemain.

“Dan akhirnya mendukacitakan kepada pemain-pemain disebabkan kegagalan membayar gaji pada tarikh sepatutnya tetapi dengan adanya ECP ini, setiap kelab akan sedar kemampuan mereka dan sejauh mana mereka boleh berbelanja,” ujarnya menerusi kenyataan MFL di sini hari ini.

Siri jelajah sesi taklimat mengenai ECP telah memulakan langkah apabila MFL mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan kelab JDT.

Pertemuan itu menyaksikan MFL diwakili Ketua Unit Perancangan dan Strategi, Reuben Chong dan Rakan Kongsi dalam Perkhidmatan Perlindungan Risiko PricewaterhouseCoopers (PwC), Ting Choo Wai mengadakan sesi taklimat bersama Anizam di ibu pejabat JDT, Johor Bahru.

Dalam taklimat itu, MFL memberikan maklumat terperinci mengenai pelaksanaan, sistem dan peranan ECP dalam Liga Malaysia apabila program itu akan dilaksanakan musim depan.

Selepas pertemuan positif bersama skuad Harimau Selatan, MFL turut mengadakan pertemuan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pada taklimat kedua di Kota Bharu semalam sebelum meneruskan siri jelajah ECP itu dengan bertemu PJ City FC hari ini disusuli Pahang dan Negeri Sembilan.

Untuk rekod ECP telah digunapakai di Sepanyol oleh La Liga dan pada awal pelaksanaannya pada 2012, La Liga sendiri berdepan masalah hutang keseluruhan melebihi €600 juta (RM2.8 billion) termasuk €90 juta (RM422.87 juta) bagi tunggakan gaji pemain.

Dengan pelaksanaan ECP itu, La Liga telah berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan-pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 menjadi sifar pada 2017 sekali gus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.

Jika sebelum itu beberapa pasukan daripada 42 kelab La Liga berdepan status bankrap tetapi dengan implikasi peraturan kawalan ekonomi menyaksikan mereka berjaya menyelesaikan hutang dan berbelanja mengikut kewangan mereka. – MalaysiaGazette