Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 OGOS 2019

KUALA LUMPUR- Gerakan memboikot barangan bukan Bumiputera merupakan tindakan tidak bijak.

Tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ia tidak memberi kesan positif, sebaliknya hanya akan mencetuskan kemarahan.

“Mungkin ada orang yang cetek fikrian buat benda seperti itu (boikot produk) tapi tidak berkesan… buat apa?.

“Boikot ini satu senjata yang tak berkesan cuma timbulkan kemarahan.

“Jangan boikot barang siapa pun, Bumiputera atau bukan Bumiputera,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Yayasan al-Bukhary, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini yang melancarkan kempen mengutamakan pembelian produk Islam yang tular dalam media sosial.

Semalam Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof menyifatkan kempen mengutamakan produk Muslim tidak elok untuk ekonomi negara dan tidak sepatutnya berlaku di negara yang berbilang kaum. – MalaysiaGazette