GEORGE TOWN – Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga Indonesia semalam, selepas disyaki terlibat membuat panggilan ancaman bom palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), pada 9 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A. Anbalagan berkata, wanita berusia 38 tahun itu ditahan sebaik tiba di balai ketibaan LTAPP semalam dari Medan, Indonesia kira-kira pukul 9.10 malam tadi.

“Sebaik menahan wanita itu, polis menahan kekasihnya berumur 38 tahun, yang sedang menunggu untuk menjemputnya di kawasan ketibaan LTAPP, lelaki itu dipercayai turut terlibat dalam kejadian panggilan bom palsu tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, susulan penahan pasangan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun di Jitra, Kedah, yang merupakan rakan kepada suspek lelaki tersebut.

Menurutnya, siasatan mendapati nombor telefon bimbit yang digunakan untuk membuat ancaman bom palsu di daftarkan di atas nama wanita Indonesia itu, namun talian itu digunakan oleh teman lelakinya.

Anbalagan berkata, siasatan juga mendapati ketika dua lelaki itu dalam perjalanan menghantar wanita Indonesia tersebut ke LTAPP untuk pulang ke Medan pada 9 Ogos lepas, telah berlaku salah faham antara pasangan kekasih berkenaan.

“Bagi menghalang teman wanitanya pulang ke Medan, kekasihnya telah meminta bantuan rakan lelakinya yang di untuk membuat panggilan bom palsu, dengan harapan jadual penerbangan ke Medan tergendala,” katanya.

Katanya lelaki itu mengaku membuat panggilan ancaman bom palsu dengan menggunakan telefon bimbit milik rakanya, setelah diminta oleh lelaki berkenaan, dan mereka membuat ugutan bom palsu tersebut hanya melibatkan isu peribadi, serta tiada elemen-elemen jenayah yang lain.

Menurutnya pemeriksaan polis bersama pasukan unit anjing pengesan pada 9 Ogos itu turut tidak menemui sebarang bom atau benda berbahaya di kawasan LTAPP.

“Teman lelaki wanita itu mempunyai lima rekod jenayah melibatkan dadah, manakala seorang lagi lelaki mempunyai satu rekod jenayah. Mereka bertiga kini di reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah, dan memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melakukan panggilan palsu, kerana ia bukan sahaja menyusahkan pengguna lain di LTAPP, malah merugikan pelbagai pihak termasuk polis serta pengurusan lapangan terbang. – MalaysiaGazette